Pengumuman semakan Belanjawan 2016 oleh Perdana Menteri pada hari Khamis bahawa caruman wajib pekerja untuk KWSP yang dipotong secara automatik daripada gaji bulanan mereka, akan dikurang tiga peratus mulai Mac tahun ini hingga Disember 2017 sebagai antara 11 langkah untuk merangsangkan ekonomi untuk meningkatkan kuasa membelanja di dalam pasaran. Langkah ini tidak membantu ahli-ahli KWSP malah ia hanya satu lagi angkara untuk mengeluarkan duit sebanyak RM8 bilion setahun yang sepatutnya tidak boleh dibelanjakan ke dalam pasaran. Kita boleh bayangkan sekiranya terdapat RM8 bilion sebagai aliran tunai tambahan di dalam pasaran, berapakah peningkatan dalam kutipan hasil melalui Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST)?
Sekiranya dibuat pengiraan, tiga peratus daripada gaji RM3000 hanya RM90 sahaja. Apakah ia dapat bantu mengurangkan beban ekonomi yang dihadapi kini? Maka, pengurangan caruman ke akaun KWSP sebanyak RM90 setiap bulan akan menyebabkan kerugian dan menyebabkan duit caruman yang sepatutnya untuk penggunaan zaman bersara tidak dapat menampung sara hidup nanti. Saya sokong sepenuhnya langkah ini sekiranya perbezaan tiga peratus tersebut ditampung oleh kerajaan. Ia bermakna ahli-ahli KWSP mempunyai kuasa membelanja tambahan sebanyak tiga peratus daripada gaji pokoknya disamping menikmati caruman sepatutnya.
Saya menyeru supaya semua ahli KWSP mengekalkan caruman sebelas peratus agar tidak menjejaskan hasil dividen yang bakal diterima serta tidak terperangkap hidup nanti. Lebih simpanan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk masa depan adalah lebih baik daripada mempunyai pendapatan boleh guna dalam tempoh jangka pendek. Tambahan lagi, jumlah lebihan itu bukannya boleh membantu apapun.