Skip to content

Menyokong kenaikan bantuan bulanan kebajikan masyarakat kepada RM1000 sebagai sebahagian peralihan strategik dalam fokus kewangan kerajaan daripada dasar menguruskan hutang kerajaan secara berhemah kepada meminjam lebih banyak wang untuk menyuntik dana demi menyelamatkan kehidupan, pekerjaan dan perniagaan rakyat Malaysia

Semasa berkempen untuk pilihan raya negeri Sabah di Sandakan semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mencadangkan agar bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat antara RM200 sehingga RM300 untuk golongan memerlukan dinaikkan kepada RM1000. Walaupun cadangan kenaikan ini merupakan sebahagian penghitungan politik Perdana Menteri bagi menghadapi pilihan raya negeri Sabah, DAP ingin menyatakan sokongan terhadapnya demi membantu golongan memerlukan bantuan kewangan, khususnya daripada kumpulan B40.

Kenaikkan ini akan menambah perbelanjaan tahunan kerajaan untuk bantuan kebajikan masyarakat daripada RM1.7 bilion untuk lebih 500,000 orang penerima pada 2018, kepada RM12 bilion untuk lebih kurang 1 juta orang penerima. DAP menyokong kenaikan bantuan bulanan kebajikan masyarakat kepada RM1000 sebagai sebahagian peralihan strategik fokus kewangan kerajaan daripada dasar menguruskan hutang kerajaan secara berhemah kepada meminjam lebih banyak wang untuk menyuntik dana demi menyelamatkan kehidupan, pekerjaan dan perniagaan rakyat Malaysia.

Kerajaan PH sebelum ini meletakkan keutamaan dalam mengawal dan menguruskan hutang negara, terutamanya kerana peningkatan hutang yang tidak direkod dalam penyata kunci kira-kira (off-balance sheet liabilities), yang disebabkan oleh penyelewengan kewangan BN seperti skandal 1MDB. Namun, berikutan krisis ekonomi Covid-19, wujud keperluan untuk beralih kepada fokus kewangan yang lebih strategik dengan meminjam lebih banyak wang bagi mengeluarkan Malaysia secepat mungkin daripada kemelesetan ekonomi.

Malaysia mencatatkan prestasi ekonomi tercorot di rantau ASEAN dengan pengucupan KDNK sebanyak 17.1% untuk suku tahun kedua tahun ini. Dengan kadar pengangguran yang tinggi pada 4.9% yang bersamaan dengan seramai 773,200 orang menganggur pada bulan Jun, jumlah penerima bantuan kebajikan masyarakat dijangka meningkat kepada 1 juta orang berbanding 500,000 sebelum ini pada 2018 apabila kadar pengangguran berada di tahap rendah 3.4%. Peningkatan jumlah penerima ini, dan juga peningkatan bantuan kebajikan masyarakat sebanyak RM1000 sebulan akan menambah kos keseluruhan kepada RM12 bilion setahun.

Jika Muhyiddin sanggup untuk mempertimbangkan peningkatan perbelanjaan kebajikan masyarakat daripada RM1.7 bilion pada 2018 kepada RM12 bilion demi membantu 1 juta rakyat Malaysia, apa masalahnya untuk membelanjakan tambahan RM6.4 bilion untuk melanjutkan moratorium pembayaran balik pinjaman bank selama 6 bulan lagi? Lanjutan moratorium tersebut, sama ada dibiayai oleh pihak bank mahupun oleh kerajaan sendiri, akan dapat membantu 8 juta rakyat dan syarikat Malaysia, yang lebih besar jumlahnya.

Demi membantu 32 juta rakyat Malaysia, satu suntikan dana tambahan RM45 bilion diperlukan untuk satu lagi pusingan pakej ransangan yang akan menyelamatkan pekerjaan dan perniagaan rakyat Malaysia. Tindakan melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan sehingga 31 Disember akan memberikan kesan buruk terhadap ekonomi negara, dan sepatutnya perlu disekalikan dengan suntikan dana tambahan RM45 bilion pakej ransangan ekonomi.