Skip to content

Menyokong pengaturan PKD untuk memberi 400 dos tambahan kepada orang ramai dengan kaedah slip vaksinasi

Saya difahamkan bahawa Pusat Pemberian Vaksin(PPV) UTAR pada 22 Julai telah menyuntik sekitar 1600 dos vaksin. Di mana 1200 dos di bawah temujanji My Sejahtera dan 400 dos dengan menggunakan slip Vaksinasi. Ini merupakan satu rekod tertinggi pemberian vaksin sejak PPV UTAR dibuka.

Terdapat kritikan-kritikan terhadap keputusan PKD bahawa 400 dos tambahan ini harus dijadualkan di bawah My Sejahtera. Di sini ingin saya membuat sikit penjelasan supaya orang ramai lebih memahami operasi vaksinasi.

PKD dan PPV tidak berkuasa untuk menjadualkan ataupun menentukan senarai penerima Vaksin My Sejahtera, senarai ini diatur oleh Kerajaan Pusat dalam sistem.

Apabila PKD mempunyai 400 dos tambahan vaksin, apakah cara yang terbaik untuk mengaturkannya untuk disuntik orang ramai? Sekiranya PKD menyimpan 400 dos tambahan vaksin ini, PKD akan dikritik kerana sengaja menyimpan vaksin dan tidak memberikannya kepada orang ramai.

Ada cadangan bahawa sukarelawan PPV boleh memanggil kesemua 400 orang satu per satu dengan menggunakan “Senarai Simpanan” My Sejahtera. Pertama sekali PPV tidak mempunyai apa-apa “Senarai Simpanan” My sejahtera, semua penerima vaksin disusun oleh sistem dalam My Sejahtera. Kedua, berapa lama masa yang akan diambil sukarelawan untuk memanggil satu per satu? Mari buat pengiraan kasar.

Sekiranya satu panggilan telefon memakan masa 5 minit, 12 panggilan dapat dibuat dalam masa satu jam. Jika 10 sukarelawan membuat panggilan secara serentak, ia akan memakan masa hampir tiga jam setengah untuk memanggil 400 orang. Jangan lupa ada lagi 1200 orang yang menunggu di PPV untuk mengambil vaksin melalui temujanji My Sejahtera.

Oleh itu, bukan saja ia tidak praktikal untuk membuat panggilan kerana kekurangan tenaga pekerja ia juga akan menimbulkan tanda tanya atas ketelusan pemilihan penerima vaksin dan juga kecurigaan penjualan vaksin.

Oleh itu, PKD telah memutuskan untuk membuka peluang untuk menerima vaksin tambahan ini kepada warga Kampar yang berumur 40 tahun ke atas dengan menerima slip vaksinasi di klinik.

Untuk mengelakkan orang ramai berkumpul di PPV, PKD juga telah mengaturkan supaya orang ramai untuk mendapatkan slip vaksinasi dahulu di Klinik Kesihatan Kampar dan Klinik Kesihatan Malim Nawar sebelum mengatur waktu vaksinasi di PPV.

Bagi mereka yang mencuba nasib di PPV tanpa slip vaksinasi, ia di luar kawalan PKD.

Terdapat juga fitnah terhadap saya bahawa saya telah menyebarkan berita ini di facebook menyebabkan orang ramai berkumpul di PPV UTAR. Berita ini bukan sahaja telah tersebar luas di media sosial pagi itu, malahan screenshot whatsapp group Ahli Majlis PN juga dikongsi di facebook dan media sosial.

Jadi untuk menyalahkan saya yang menyebabkan orang ramai berkumpul di PPV UTAR adalah terlalu memuji saya. Sekiranya saya tidak berkongsi berita ini, adakah ia adil kepada orang yang tidak menerima berita itu?

Sebagai wakil rakyat pembangkang, kami tidak seharusnya terjerumus ke dalam pemikiran membangkang demi membangkang. Walaupun pengaturan ini bukan yang paling sempurna, ia merupakan pengaturan yang agak telus, terbuka dan lebih adil secara relatif dalam keadaan yang tidak ideal.

Oleh itu, saya menyokong pengaturan PKD untuk memberi 400 dos tambahan kepada orang ramai dengan kaedah slip vaksinasi.