Pada petang yang mulia ini, kami berhimpun di sini untuk menjayakan Konvensyen Biasa DAP Negeri Sembilan yang ke-16 untuk memilih satu jawatankuasa negeri yang baru untuk menyambung perjuangan parti dan meneruskan gerakan perubahan politik untuk merealisasikan sebuah kerajaan baru yang diterajui oleh Pakatan Rakyat di peringkat Persekutuan dan Negeri pada Pilihanraya Umum ke-14.
Walaupun impian untuk mengambil alih Putrajaya dan Wisma Negeri tidak tercapai pada PRU 13, namun tidak ada alasan untuk kita berasa kecewa dan berputus-asa. Sebaliknya, kita perlu memperkuatkan azam dan berusaha dengan lebih gigih lagi di semua peringkat untuk mencapai perubahan dalam masa 4 tahun akan datang.
Kita semua perlu berasa bangga dengan keputusan yang kita capai secara bersama pada 5 Mei 2013. PRU 13 mencatatkan sejarah pilihanraya yang paling gemilang untuk DAP Negeri Sembilan. Buat pertama kalinya sejak bertanding dalam pilihanraya umum pada tahun 1969, DAP berjaya mencapai kemenangan 100% di Negeri Sembilan. Kita memenangi kesemua 2 kerusi Parlimen dan 11 kerusi DUN yang ditandingi di Negeri Sembilan termasuk kerusi terakhir yang dipegang oleh MCA selepas tsunami politik 8 Mac 2008 iaitu DUN Chennah!
Kejayaan ini sudah tentunya satu rekod yang amat memberangsangkan dan saya mengambil peluang pada Konvensyen hari ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan ribuan terima kasih kepada setiap ahli parti di semua peringkat yang telah membantu dan menyumbangkan tenaga dalam kempen PRU 13! Tanpa sumbangan dan pengorbanan Saudara dan Saudari, tidak mungkin kami mencapai kejayaan tersebut.
Cabaran di depan kita sekarang ialah bagaimana momentum perubahan ini dapat dikekalkan dan diperkuatkan di kalangan masyarakat akar umbi bukan sahaja di kawasan-kawasan bandar yang kita telah menangi tetapi juga kawasan luar bandar yang belum ditembusi. Semua wakil rakyat DAP memikul tanggungjawab yang berat sebagai pembawa obor perubahan. Prestasi dan gerak kerja Ahli Parlimen dan ADUN akan sentiasa dipantau dan dinilai oleh rakyat jelata. Justeru itu, semua wakil rakyat DAP perlu berkhidmat dengan lebih gigih dan bersatu-padu memantapkan jentera dan organisasi parti untuk menghadapi PRU-14.
Proses perubahan politik ke arah sistem dua parti yang sedang dibentuk dalam negara kita pada hari ini adalah hasil dari kerjasama yang terjalin di antara DAP, PAS dan PKR dalam kerangka Pakatan Rakyat. Tanpa kerjasama ini, tidak mungkin hegemoni Barisan Nasional dapat dipecahkan.
Walaupun jumlah kerusi Pakatan Rakyat di DUN Negeri Sembilan telah berkurangan dari 15 ke 14 kerusi, namun PR masih boleh berbangga dengan jumlah undi popular yang kita perolehi bersama iaitu 47.41%! Hakikatnya, PR berjaya menafikan majoriti dua pertiga BN di DUN Negeri Sembilan untuk dua penggal berturut-turut.
Masa depan DAP adalah bersama Pakatan Rakyat! Kita boleh secara tegas dan lantang menyatakan komitmen kita untuk terus memperkukuhkan Pakatan Rakyat khususnya di Negeri Sembilan. Tanpa keutuhan dalam Pakatan Rakyat, BN tetap akan berkuasa walau apa pun kelemahan, skandal, penyalahgunaan kuasa dan rasuah yang mereka lakukan.
Pada PRU 13, Pakatan Rakyat telah berjaya menyakinkan majoriti pengundi di kawasan bandar seperti yang ditunjukkan dalam keputusan yang kita perolehi. Namun, kami menerima hakikat bahawa faktor ketakutan yang dibangkitkan oleh UMNO terhadap masyarakat Melayu melalui isu perkauman yang dimainkan masih begitu berkesan di kawasan luar bandar sehingga PAS dan PKR sukar menembusi kerusi-kerusi yang ditandingi oleh UMNO.
Umpamanya, ada di kalangan masyarakat Melayu di Negeri Sembilan yang termakan dengan propaganda UMNO kononya orang Melayu akan kehilangan kuasa politik sekiranya Pakatan Rakyat berjaya membentuk kerajaan dan pemimpin bukan Melayu DAP akan merampas kuasa Melayu termasuk saya akan menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan sekiranya PR menang.
Sebelum PRU 13 pun telah berkali-kali saya mengulangi pendirian DAP bahawa kita tidak menolak kuasa politik Melayu. Yang DAP dan PR ingin tolak ialah kerajaan Barisan Nasional yang rakus kuasa dan rasuah. DAP akan tetap mendokong peruntukan dalam Undang-undang Tubuh Negeri Sembilan bahawa jawatan Menteri Besar akan disandang orang seorang ADUN Melayu yang beragama Islam. Pendirian DAP dalam hal ini tetap sama dan tidak berubah.
Untuk menangkis tohmahan dan penipuan yang terus dilemparkan oleh UMNO dan BN, Pakatan Rakyat perlu mengorak langkah dan strategi yang lebih berkesan untuk menyakinkan masyarakat Melayu bahawa masa depan seluruh rakyat Malaysia akan lebih baik dan terjamin di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat kerana dasar yang kita perjuangkan ialah untuk kesejahteraan rakyat dan bukannya untuk sebilangan kecil golongan yang terpilih.
Justeru itu, saya menyokong penuh cadangan oleh Ketua Parlimen DAP Sdr Lim Kit Siang supaya sebuah Majlis Strategik Pakatan Rakyat ditubuhkan segera untuk memulakan langkah untuk persiapan menghadapi PRU 14. Satu strategi yang sangat penting untuk Negeri Sembilan ialah PR perlu mengenalpasti, memutuskan dan menampilkan calon Menteri Besar kita sekurang-kurangnya 2 tahun sebelum PRU 14!