Skip to content

Merujuk Ahli Parlimen Kuantan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan di atas ucapan rasis dan mengelirukan di Parlimen

Saya dengan segala hormatnya merujuk kepada perkara di atas. Saya ingin mengemukakan suatu usul seperti berikut:

Tuan CHONG ZHEMIN (Kampar) akan mencadangkan:-

“Bahawa Dewan ini merujuk Ahli Parlimen Kuantan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan mengikut Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat atas sebab ucapan beliau dalam Dewan Rakyat pada 21 Oktober 2024, Peraturan Mesyuarat 36(10)(c), Adalah salah pada peraturan menggunakan perkataan-perkataan yang harus menaikkan perasaan bersakit hati atau bermusuh-musuhan di antara satu kaum dengan satu kaum dalam Malaysia atau melanggar mana-mana syarat dalam Perlembagaan atau Akta Hasutan 1948. Dan Peraturan Mesyuarat 36(12), Mana-mana ahli yang mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan Dewan adalah disifatkan menghina Majlis dan ahli itu boleh dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan bagi kesalahan itu.”

2. Pada 29 Oktober 2024 Jam 1440 Ahli Parlimen Kuantan Tuan Wan Razali bin Wan Nor telah berucap seperti berikut:

Tuan Wan Razali bin Wan Nor [Kuantan]: Kita ingatkan kepada mereka yang mendapat kerakyatan bahawa jangan ada di kalangan mereka terlupa kesetiaan perlulah diberikan sepenuhnya kepada negara ini. Kita tidak mahu selepas mendapat warganegara, ada pula yang berhimpun membawa bendera masing-masing di negara yang kita sayangi ini tanpa mengikut saluran undang-undang negara kita.

Petikan ucapan di atas diambil daripada Penyata Rasmi Dewan Rakyat bertarikh 29 Oktober 2024.

4. Ucapan Ahli Parlimen Kuantan dengan jelas cuba merujuk kepada insiden di mana Warganegara China mengibar bendera negara China di Teluk Intan. Ucapan Ahli Parlimen Kuantan secara tersurat dan tersirat juga cuba mempersoalkan kesetiaan Rakyat Malaysia Berbangsa Cina dan India apabila dia menuduh Rakyat Malaysia yang berbangsa Cina dan India selepas mendapat warganegara, berhimpun membawa bendera masing-masing di negara yang kita sayangi.

5. Ucapan Ahli Parlimen Kuantan yang rasis telah menaikkan perasaan bersakit-sakit hati atau bermusuh-musuhan di antara satu kaum dengan satu kaum dalam Malaysia dan juga mengelirukan dewan kerana pihak PDRM telah pun mengesahkan tiada rakyat Malaysia yang mengibar bendera Negara China di insiden Teluk Intan.

6. Saya berbesar hati sekiranya Ybrs dapat membawa cadangan usul saya ini ke perhatian Yang Berhormat Tan Sri Yang di-Pertua Dewan Rakyat supaya Yang Berhormat Ahli Parlimen Kuantan dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan