Skip to content

Mesyuarat Kabinet pada hari Rabu ini harus menyelamatkan masa depan digital negara dan pelaburan digital berteknologi tinggi yang bernilai antara RM12-15 bilion dengan menukar semula dasar kabotaj yang gagal oleh Wee Ka Siong

Mesyuarat Kabinet pada hari Rabu ini harus menyelamatkan masa depan digital negara dan pelaburan digital berteknologi tinggi yang bernilai antara RM12-15 bilion dengan menukar semula dasar kabotaj yang cacat di mana Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong enggan memberikan pengecualian kepada kapal asing yang melakukan pembaikan kabel bawah laut. Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada 14 April telah memberi tempoh 2 minggu kepada 6 Kementerian yang berbeza untuk mengkaji semula kesan dasar kabotaj negara terhadap industri digital dan perkapalan.

Ini berikutan pencapaian tunggal Wee, yang menyebabkan pelaburan oleh Facebook dan Google lari, dan mungkin selepas ini pelaburan bernilai RM12-15 bilion dalam sektor teknologi digital, kerana keengganannya yang keras kepala untuk memberikan pengecualian kabotaj kepada kapal asing yang melakukan pembaikan kabel bawah laut. Kabinet harus membuat pilihan yang jelas dan tegas antara menyelamatkan air muka Wee dengan tetap meneruskan polisi kabotaj yang gagal atau menyelamatkan pelaburan digital yang besar bernilai antara RM12-15 bilion.

Pengecualian kabotaj ini yang membolehkan kapal asing melakukan pembaikan kabel dasar laut diberikan pada bulan Mac 2019 oleh Menteri Pengangkutan PH Loke Siew Fook. Wee membatalkan pengecualian kabotaj pada 13 November 2020, mengabaikan aduan bahawa ia akan menyebabkan kelewatan sehingga 27 hari, selang masa yang tidak dapat diterima pada era internet berkelajuan tinggi.

Pengerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) Rais Hussin telah secara terbuka menyalahkan Wee yang membatalkan pengecualian kabotaj sehingga menyebabkan Malaysia disisihkan oleh Facebook dan Google dengan memilih Singapura dan Indonesia. Rais mengatakan turut dikaji semula adalah pelaburan berpotensi pusat data bernilai RM12-15 bilion pelaburan asing. Ini adalah tamparan yang besar kepada masa depan digital Malaysia.

Tempoh kajian semula 2 minggu kini sudah tamat. Kabinet tidak boleh melengahkan masa lagi tetapi harus segera membatalkan polisi kabotaj Wee yang gagal. Ini satu ujian kepada Kabinet sama ada keutamaan diberikan kepada masa depan digital Malaysia atau masa depan politik mereka sendiri bagi memastikan 2 Ahli Parlimen MCA Wee kekal bersama PN, penting bagi Kerajaan PN yang tidak mampu kehilangan mana-mana Ahli Parlimen setelah kehilangan majoriti parlimennya.