Skip to content

Mesyuarat tergempat CWC malam tadi sebulat suara bersetuju untuk melakukan usaha terakhir untuk bertemu dengan Pendaftar Pertubuhan Datuk Abdul Rahman Othman

Mesyuarat tergempat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) malam tadi sebulat suara bersetuju untuk melakukan usaha terakhir untuk bertemu dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS) Datul Abdul Rahman Othman untuk menuntut supaya hanya dua penjelasan diberikan atas sebab kenapa dan di bawah kuasa apa daripada Akta Pertubuhan itu beliau mengarahkan DAP untuk melakukan pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC). DAP sedia mengadakan pemilihan semula dengan syarat dua penjelasan ini diberikan secara munasabah, menepati undang-undang dan dengan berasaskan fakta.

Tanpa dua penjelasan ini daripada pihak ROS, pimpinan DAP tidak akan mampu untuk menjelaskan kepada perwakilan DAP di kongres parti kenapa pemimpin parti mengalah dan menyerah dengan begitu mudah kepada suatu salahguna kuasa yang digunakan sewenang-wenangnya oleh ROS untuk mengarahkan pemilihan semula.

CWC DAP mengulangi pendirian bahawa pemilihan CEC pada Disember 2012 telah dijalankan secara teratur dan bersih. Apabila kesilapan komputer mengakibatkan pengumuman yang salah bagi calon yang berjaya, DAP bingkas membetulkannya malah turut meminta sebuah firma perakaunan untuk memeriksa keputusan yang dibetulkan itu. Tidak ada kesilapan sama ada dalam pengiraan undi atau penjumlahan tetapi hanya dalam pengumuman keputusan, yang mengakibatkan seorang calon, Vincent Wu diumumkan sebagai calon yang berjaya, sedangkan nama yang sepatutnya diumumkan ialah Zairil Khir Johari.

Kesilapan ini telah dibetulkan dengan meletakkan Zairil Khir Johari sebagai calon yang menang. DAP telah pun memberi penjelasan penuh tentang kesilapan yang tidak disengajakan ini kepada pegawai-pegawai dari ROS dengan mengemukakan semua dokumen dan bahan yang diperlukan. Kesilapan tersebut diakui oleh DAP tanpa didedahkan oleh ROS mahupun BN dalam mengangkat peri penting ketelusan dan akauntabiliti. DAP kini dihukum kerana berlaku jujur dan berkata benar.

Mengarahkan pemilihan semula hanya atas sebab ROS tidak berpuas hati, adalah salah di segi undang-undang kerana melanggari prinsip asas perlaksanaan kuasa secara munasabah, selain prinsip keadilan serta proses undang-undang yang sepatutnya. Dua penjelasan tentang sebab-sebab kenapa serta di bawah kuasa apa daripada Akta Pertubuhan adalah amat penting demi akauntabiliti dan ketelusan.

Sekiranya DAP menerima rasional ROS bahawa ia tidak perlu memberi sebarang penjelasan, jadi apa yang boleh menghalang ROS daripada mengarahkan pemilihan semula berkali-kali hanya kerana ROS tidak berpuas hati. Bezakan tindakan pantas terhadap DAP berdasarkan aduan yang difailkan tahun ini berbanding sikap tidak mengambil tindakan ROS terhadap aduan yang difailkan terhadap pemilihan parti SUPP yang diadakan dua tahun lalu.

CWC DAP sangat kecewa dengan sikap ROS yang berulang kali berkelakuan tidak profesional, tidak beretika malah tidak menepati undang-undang dengan membuat kenyataan media yang tidak mempunyai asas fakta mahupun undang-undang. Jika ROS percaya bahawa mereka telah difitnah oleh DAP, mereka pastinya boleh membawa DAP ke mahkamah dan memfailkan saman fitnah.

Berbanding fakta yang diberikan DAP yang turut diperiksa oleh sebuah firma perakaunan, ROS nampaknya mempercayai penipuan Utusan Malaysia dan juga New Straits Times bahawa 753 perwakilan DAP telah dinafikan hak mereka untuk hadir ke kongres DAP di Pulau Pinang dan bahawa terdapat 547 perwakilan “hantu” hadir ke kongres.

Pihak ROS sehingga hari ini belum menjawab permintaan kami untuk dua penjelasan ini, mahupun permintaan saya untuk bertemu dan berbincang. Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke akan mengaturkan janjitemu bersama pihak ROS.