Skip to content

Mewajibkan pengisytiharan harta ahli politik dan lantikan politik

Kestabilan sesebuah kerajaan bukan sahaja bergantung kepada dasar dan program, tetapi keyakinan rakyat terhadap pemimpin yang menerajui pentadbiran tersebut.

Kepercayaan rakyat adalah modal politik yang paling berharga, dan apabila ia hilang, apa jua dasar yang baik sekalipun sukar untuk diterima dan dilaksanakan dengan berkesan. Oleh itu, saya ingin menegaskan bahawa pengukuhan budaya integriti dalam kerajaan negeri Melaka mesti menjadi keutamaan.

Salah satu langkah penting ialah mengwajibkan pengisytiharan harta oleh semua ahli politik, termasuk lantikan politik yang memegang jawatan dalam pentadbiran negeri. Langkah ini bukan bertujuan untuk memalukan sesiapa, tetapi untuk memelihara keyakinan rakyat dan memastikan tiada ruang untuk keraguan atau prasangka.

Ini juga merupakan dasar yang pernah dilaksanakan oleh kerajaan Pakatan Harapan negeri Melaka pada tahun 2018.

Saya percaya, jika Melaka mengambil langkah ini, kita bukan sahaja memperkukuh integriti pentadbiran, tetapi kita juga menghantar mesej jelas bahawa negeri ini komited untuk mengangkat martabat politik yang bersih dan berwibawa.