Kerajaan gagal untuk membantu meningkatkan status sosio-ekonomi kaum India di negara ini. Sejak kemerdekaan tidak ada apa-apa dasar ataupun program khas untuk membantu masyarakat India yang miskin. Kerajaan Perikatan mahupun Barisan Nasional tidak menunjukkan komitmen yang benar-benar serius dalam meningkatkan status sosio-ekonomi kaum India. Malah, terdapat banyak bukti-bukti bahawa kaum ini telah ditindas secara licik selama ini.
Parti MIC yang sepatutnya memperjuangkan hak-hak kaum India pula telah menjadi ‘Pak Angguk’ kerana kepentingan dan kedudukan politik di dalam kerajaan. Pemimpin-pemimpin ini telah mengadai kaum India yang sebenarnya telah memberi sokongan dan dokongan kepada Barisan Nasional sejak kemerdekaan. Kaum India dianggap sebagai kumpulan yang tidak signifikan dan boleh diketepikan apabila merangka apa-apa dasar pembangunan untuk negara.
Kerajaan Barisan Nasional dan MIC telah lupa sumbangan kaum India yang menjadi tulang belakang membangunkan negara ini sejak sebelum merdeka lagi. Siapakan yang membuka dan membersihkan hutan untuk pertanian dan perladangan? Ramai diantara kita yang pura-pura melupakan sejarah yang ditulis dengan keringat kaum minoriti ini.
Perladangan merupakan sektor ekonomi yang paling utama bagi negara kita pada ketika itu. Memang tidak dapat dinafikan bahawa kaum India merupakan saraf tunjang dalam sektor ekonomi komoditi sebelum dan selepas Tanah Melayu mendapat kemerdekaan daripada British. Kaum India menjadi pekerja utama di ladang getah, kelapa sawit, kelapa, koko, teh dan lain-lain lagi.
Kaum India menetap di ladang-ladang dan jarang mempunyai peluang untuk berurusan atau mengatur aktiviti-aktiviti ekonomi yang lain di luar. Kaum India bersebati dengan aktiviti perladangan secara tertutup untuk satu jangka masa yang cukup panjang. Ini menyebabkan pekerja-pekerja ladang itu telah menjadi golongan yang ketinggalan. Tenaga mereka dikerah dan dibalas dengan upah yang rendah. Masyarakat tertutup ini tidak mendapat peluang dalam persaingan ekonomi negara kita. Pemilik-pemilik ladang membuat keuntungan yang besar, tetapi pekerja-pekerja ladang dibayar gaji yang kecil hanya untuk sara diri dan keluargannya.
Walaupun kerajaan pernah mengiktiraf pekerja-pekerja ladang ini sebagai golongan miskin, tetapi tidak merangka polisi yang sewajarnya untuk membantu meningkatkan kedudukan mereka dalam ekonomi negara ini. Kerajaan telah mengambil sikap ‘menutup mata’ dalam soal pembangunan kaum India di negara ini.
Apakah alasan yang diberikan oleh kerajaaan untuk tidak membantu masyarakat India yang sebahagian besarnya bekerja di ladang ketika itu? Kerajaan mendakwa kaum India mempunyai pekerjaan tertentu dan menetap di ladang-ladang yang dimiliki oleh pihak swasta. Oleh yang demikian, kerajaan tidak mempunyai kuasa untuk memberi dana pembangunan kepada kumpulan yang berada di bawah tanggungan dan seliaan pihak swasta. Walaupun kerajaan membelanjakan jutaan ringgit untuk pembangunan luar bandar tetapi peruntukan itu tidak disalurkan kepada kaum India yang bekerja di ladang-ladang.
Kaum India telah melalui pelbagai kesengsaraan hidup di negara ini. Pada ketika negara kita dilanda inflasi yang teruk diantara tahun 1986 hingga 1990, pendapatan boleh guna pekerja-pekerja ladang jatuh secara mendadak. Ini telah merumitkan lagi kehidupan mereka tanpa sebarang bantuan dan sokongan daripada kerajaan mahupun pihak-pihak yang lain. Inflasi telah menelan sebahagian besar daripada upah pekerja-pekerja ladang yang malang ini.
Statistik menunjukkan bahawa 65% pekebun kecil dan 40% pekerja ladang getah hidup di bawah paras kemiskinan tegar pada tahun 1970. Sebahagian besar daripada pekerja-pekerja yang terlibat adalah terdiri daripada kaum India. MIC sekali lagi gagal memberi cadangan kepada kerajaan untuk menggubal Dasar Ekonomi Kaum India seperti mana yang dibuat oleh UMNO untuk membantu orang-orang Melayu yang miskin melalui Dasar Ekonomi Baru.
Pada tahun 1973, kerajaan membuat pengumuman bahawa satu skim rumah murah akan diwujudkan untuk membantu pekerja-pekerja ladang supaya dapat memiliki rumah sendiri. Tetapi, kerajaan hanya membina 1608 rumah murah di estet-estet di seluruh negara. Ini sekaligus telah menghancurkan harapan yang diberikan oleh kerajaan kepada tenaga kerja perladangan yang melebihi 250,000