Skip to content

MIC tidak wibawa dan lesu, akibatnya pembangunan sekolah-sekolah Tamil terencat

Adakah pemimpin-pemimpin MIC benar-benar prihatin tentang sekolah-sekolah Tamil di negara ini? Sering kali kita dengar bahawa mereka ini adalah pembela sekolah-sekolah Tamil. Tetapi, pada hakikatnya mereka ini bukanlah pembela kepada sekolah- sekolah Tamil. Sebelum merdeka dikatakan wujud lebih daripada 800 buah sekolah Tamil di negara ini. Pada hari ini jumlah tersebut telah berkurang kepada 523buah sahaja.

Banyak di antara sekolah-sekolah Tamil ini terpaksa ditutup apabila ladang-ladang getah berhenti beroperasi dan menyebabkan masyarakat India terpaksa berpindah keluar dari ladang-ladang getah. Apabila sekolah-sekolah Tamil di ladang ditutup, jarang sekali kerajaan mengambil inisiatif untuk membuka sekolah-sekolah Tamil yang baru di kawasan pekan atau bandar yang menjadi tumpuan masyarakat India. Pemimpin-pemimpin MIC juga tidak memainkan peranan sebagai ketua masyarakt untuk mendesak kerajaan membina sekolah-sekolah baru Tamil.

Walau bagaimanapun, kerajaan berjanji untuk membina 7 buah sekolah Tamil baru setelah Barisan Nasional hilang sokongan masyarakat India dalam PRU 12 pada tahun 2008. Perdana Menteri rasa tertekan dan menjanjikan 7 sekolah Tamil baru untuk menawan hati masyarakat India yang telah hilang kepercayaan kepada Barisan Nasional dan MIC secara khususnya. Pada hakikatnya, 7 buah sekolah Tamil baru bukanlah satu kejayaan kepada MIC, malah ia merupakan satu tamparan kepada parti itu yang tidak prihatin dan tidak memahami aspirasi kaum India.

MIC masih lagi tidak menyedari kelemahan dan kekurangannya dalam menangani isu-isu berkenaan dengan sekolah-sekolah Tamil di negara ini. Pemimpin-pemimpin parti itu masih berlengah-lengah dalam menyelesaikan masalah dan kesulitan yang dihadapi oleh sekolah-sekolah Tamil. Sebagai contoh, SJKT Kampar menghadapi satu masalah yang kecil tetapi tidak dapat diselesaikan oleh pemimpin-pemimpin MIC Negeri Perak untuk sekian lama.

Bangunan SJKT Kampar menduduki tapak tanah kerajaan yang masih belum digazetkan lagi untuk sekolah tersebut. Saya telah membangkitkan isu ini berkali-kali sejak tahun 2010 tetapi tidak dipedulikan oleh pemimpin-pemimpin ini. Setiap kali isu ini dibangkitkan, pelbagai alasan diberi untuk menipu masyarakat India di Kampar. Inilah sikap pemimpin-pemimpin MIC yang tidak bertanggungjawab dan memberi gelaran kepada diri mereka sendiri sebagai ‘pendekar membela sekolah-sekolah Tamil’. Selagi mereka tidak dapat menyelesaikan masalah sekolah-sekolah Tamil seperti ini, MIC tidak akan dipercayai oleh kaum India.