Baru-baru ini Presiden PAS Abdul Hadi Awang telah mengeluarkan kenyataan tidak bertanggungjawab yang mendakwa bahawa, sebahagian besar pelaku rasuah di negara ini membabitkan orang bukan Islam dan bukan bumiputera yang telah merosakkan politik dan ekonomi negara. Duta khas bertaraf menteri itu membuat kenyataan tersebut tanpa memberikan apa-apa bukti dan statistik sehingga boleh menyebabkan perpecahan di kalangan rakyat Malaysia. Adakah niatnya begitu?
Hadi Awang sebenarnya boleh memberitahu rakyat maklumat yang sahih dan benar memandangkan PAS kini adalah sebahagian dari kerajaan persekutuan serta mempunyai menteri-menteri dalam kabinet Malaysia. Jadi, Hadi Awang boleh mendapatkan angka rasmi kes jenayah rasuah di negara kita serta statistik mengikut negeri-negeri yang berada di kedudukan paling tinggi jenayah rasuah, bagi membuktikan kenyataan beliau itu. Bukan dengan tuduhan tidak berasas dan melulu sebegitu.
Justeru, saya juga minta pihak polis melakukan siasatan terhadap Hadi Awang samada beliau telah mengeluarkan kenyataan berniat jahat sehingga mencetuskan kegusaran awam. Jika kenyataan tersebut terbukti tidak berasas, saya mahu kerajaan mengheretnya ke mahkamah jenayah mengikut Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan dengan niat mengapikan mana-mana golongan atau kaum, Seksyen 504 kanun sama iaitu kenyataan mengaibkan yang boleh menyebabkan pecah keamanan dan atau akta-akta lain yang boleh disabitkan ke atas beliau.
Amat mendukacitakan apabila kenyataan yang berbaur perkauman ini muncul ketika rakyat sedang berada dalam bulan kemerdekaan. Kita sebagai rakyat Malaysia seharusnya bersatu memerangi jenayah rasuah tanpa mengira kaum dan agama. Bukan dengan bermain politik murahan dan menyalahkan antara satu sama lain.