Skip to content

MITI Perlu Berterus Terang – Jangan Sembunyikan Dakwaan Curi Reka Bentuk Pavilion Malaysia

Saya kecewa dengan jawapan MITI pada 31/7/2025 di Parlimen yang gagal menjawab secara jujur berhubung dakwaan bahawa reka bentuk Pavilion Malaysia untuk Ekspo 2025 di Osaka telah diambil tanpa kebenaran daripada syarikat tempatan, Current Media Group (CMG).

Kementerian langsung tidak menafikan dakwaan tersebut, sebaliknya hanya memaklumkan bahawa perbincangan sedang berlangsung. Kegagalan untuk menolak dakwaan secara terbuka menimbulkan persoalan besar tentang kesahihannya. Jika benar reka bentuk itu bukan hasil curi, mengapa sukar untuk menyatakan demikian?

Sebarang penyelesaian yang dirunding mesti didedahkan sepenuhnya kerana ia melibatkan wang pembayar cukai. Ketelusan dalam hal ini bukan satu pilihan, tetapi satu kewajipan. Kerajaan juga tidak sepatutnya melindungi mana-mana pegawai yang terlibat, sebaliknya perlu mengambil tindakan tegas agar perkara seperti ini tidak berulang.

Saya turut menerima banyak aduan daripada syarikat tempatan yang mendakwa idea mereka telah digunakan tanpa kebenaran selepas menyertai proses tender kerajaan. Amalan ini amat membimbangkan dan menjejaskan keyakinan terhadap sistem perolehan awam.

Kerajaan perlu segera menjelaskan sama ada reka bentuk tersebut benar-benar dicuri, mendedahkan jumlah dan syarat pampasan jika ada, mengambil tindakan terhadap pihak yang bertanggungjawab, dan memperkukuh garis panduan bagi melindungi hasil kerja pihak swasta.

Perkara ini melibatkan integriti negara di mata dunia. Rakyat berhak mengetahui kebenaran sepenuhnya.