Skip to content

MITI Perlu Jelaskan Siasatan Pavilion Osaka dan Dedahkan Hasilnya Secara Terbuka

Saya menggesa Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) untuk tampil memberi penjelasan berhubung siasatan terhadap dakwaan pencabulan hak cipta reka bentuk Pavilion Malaysia di Expo 2025 Osaka, yang dilaporkan mengambil masa hampir tiga bulan untuk diselesaikan.

Menurut laporan media, syarikat Current Media Group (CMG) mendakwa bahawa idea dan reka bentuk yang mereka kemukakan kepada MITI telah digunakan tanpa sebarang kebenaran rasmi. Lebih mengejutkan, CMG menyatakan bahawa sepanjang tempoh siasatan berlangsung, mereka tidak pernah dihubungi, tidak dipanggil untuk memberi keterangan, dan tidak diminta mengemukakan sebarang dokumen berkaitan.

Perkara ini menimbulkan persoalan besar terhadap ketelusan dan integriti MITI dalam mengendalikan siasatan terhadap dakwaan serius yang melibatkan reputasi negara di peringkat antarabangsa.

Sehubungan itu, saya mendesak agar hasil siasatan ini didedahkan kepada umum. Langkah ini selaras dengan prinsip ketelusan, akauntabiliti dan tadbir urus baik yang perlu menjadi asas kepada setiap agensi kerajaan. Rakyat berhak mengetahui sama ada wujudnya sebarang salah laku, kecuaian, atau pelanggaran hak cipta dalam pelaksanaan projek rasmi negara seperti ini.

Saya juga menggesa kerajaan supaya segera merangka dasar perlindungan yang komprehensif bagi menjaga hak intelektual dan kerahsiaan semua cadangan perniagaan yang dikemukakan kepada mana-mana kementerian atau agensi kerajaan. Ini penting untuk menjaga kepentingan semua pihak yang berurusan secara sah dengan kerajaan.

Sekiranya terdapat sebarang bukti bahawa kandungan cadangan CMG telah disalahgunakan, kerajaan wajar mengambil langkah sewajarnya termasuk menyiasat semula proses berkaitan, memperbaiki kelemahan dalaman, dan sekiranya perlu, menyelesaikan perkara tersebut secara adil dan profesional mengikut lunas undang-undang serta tanpa membebankan pembayar cukai