Kampung Sungai Penchala meliputi kawasan kampung yang luas dan mempunyai jumlah penduduk warga Malaysia dan bukan warga Malaysia yang tinggi. Saringan percuma yang telah dilakukan minggu lepas hanya melibatkan sampel yang agak kecil berbanding jumlah populasi di sana.
Memasuki hari ke-7 perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Sungai Penchala yang dijangka tamat pada 23 Jun ini, saya telah dimaklumkan terdapat ramai penduduk yang cuba untuk mendapatkan perkembangan terkini dan data terbaharu setiap hari mengenai situasi kes Covid-19 di Kampung Sungai Penchala. Keadaan ini akan menjadikan maklumat atau data yang mereka perolehi sesama sendiri berkemungkinan besar tidak tepat atau boleh memberikan persepsi yang salah berbanding fakta dan situasi sebenar di lapangan.
Sehubungan dengan itu, saya menggesa Majlis Keselamatan Negara (MKN) supaya mengeluarkan data harian untuk rujukan dan sebagai makluman kepada penduduk yang terlibat dengan PKPD atau yang tinggal di luar kawasan PKPD di Kampung Sungai Penchala. MKN perlu mengeluarkan data harian tersebut secara terperinci termasuk jumlah mereka yang telah didapati positif Covid-19, bilangan mereka yang diarahkan untuk menjalani kuarantin di rumah, jumlah mereka yang telah dibawa ke hospital, kawasan yang terlibat malah jumlah kematian jika ada pada hari terbabit. Data harian ini mesti diumumkan dan diterbitkan setiap hari di semua platform media sosial milik MKN atau melalui aplikasi yang mudah diakses dan boleh dikongsikan kepada wakil-wakil persatuan penduduk di Kampung Sungai Penchala. Informasi yang tepat akan membantu semua pihak melawan Covid-19 dengan pantas dan efektif.