Skip to content

Mohon maklum balas segera mengenai perkembangan kes penjualan 64 bidang tanah milik DBKL kepada Yayasan Wilayah Persekutuan

Selepas laporan dibuat oleh Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng dan saya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), rakyat mula tertanya-tanya apakah status terkini laporan tersebut yang dilihat seolah-olah sudah terbengkalai sejak ianya difailkan pada 16 Mei yang lalu.

Laporan tersebut mendesak SPRM menyiasat kes penjualan 64 bidang tanah milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kepada Yayasan Wilayah Persekutuan yang dilakukan diantara 2014 hingga 2018 dan pembangunan Taman Rimba Kiara. SPRM sudah sepatutnya memulakan siasatan dan mengambil tindakan terhadap individu yang dinyatakan di dalam laporan tersebut supaya SPRM tidak dilihat cuba melindungi mereka yang terbabit.

Kini setelah hampir 4 bulan, seluruh rakyat di Kuala Lumpur ternanti-nanti dan mula mempersoalkan mengapakah bekas Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang disebut secara jelas di dalam laporan tersebut masih belum dipanggil untuk siasatan. Dan jika benar siasatan sedang dijalankan, pengundi-pengundi di Kuala Lumpur berhak untuk mengetahui adakah siasatan SPRM merangkumi keterlibatan individu-individu lain yang dikaitkan dengan yayasan tersebut. Selain itu, SPRM juga harus menumpukan siasatan mereka terhadap isu Kebenaran Merancang yang telah dikeluarkan untuk pembangunan yang tidak terkawal dan dibuat tanpa perancangan pengurusan trafik yang teratur.

Dakwaan penyalahgunaan kuasa terhadap seorang bekas menteri adalah sesuatu yang amat serius, malah SPRM sepatutnya bertindak pantas dan tidak melambatkan proses siasatan sehingga boleh memusnahkan bahan bukti. SPRM juga bertanggungjawab untuk memaklumkan kepada orang ramai dari semasa ke semasa mengenai perkembangan kes-kes yang melibatkan berkepentingan awam seperti ini. Oleh itu, kami mohon maklum balas segera mengenai perkembangan kes penjualan tanah-tanah ini dan dalam masa yang sama menggesa SPRM untuk melakukan reformasi yang menyeluruh demi meningkatkan kedudukan dan integritinya di mata masyarakat.