Skip to content

Mohon penjelasan yang telus dari pihak bertanggungjawab berkenaan penangguhan temujanji vaksin

Saya hairan mengapa masih ada masalah-masalah seperti penangguhan ini di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di Kuala Lumpur. Sudahlah pemberian vaksin juga berjalan dengan kadar yang agak lambat. Pihak Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV) perlu telus dalam menjalankan tugas. Orang ramai wajar menerima penjelasan mengapakah temujanji mereka ditangguhkan!

Penangguhan pada saat-saat akhir ini seperti ini sangat menyusahkan orang ramai, lebih-lebih lagi kepada mereka yang mana temujanji mereka adalah pada tarikh penangguhan berkenaan. Mereka sudah pastinya melakukan segala macam persiapan untuk pergi mengambil vaksin, dan dengan mudah sahaja penangguhan ini diumumkan.

Apakah penangguhan ini disebabkan oleh pihak JKJAV yang sudah kehabisan bekalan vaksin dan perlu menunggu bekalan baharu? Ataupun JKJAV mengalami masalah logistik pengedaran vaksin? Apa pun alasan untuk penangguhan ini, orang ramai perlu tahu akan sebabnya!

Segala macam cara perlu diambil bagi memastikan penangguhan seperti ini tidak berlaku lagi. Proses pemberian vaksin mesti berjalan dengan lancar dan tanpa halangan sekiranya kita mahu capai imuniti kelompok.

Mohon penjelasan yang telus dari pihak bertanggungjawab!

https://www.thestar.com.my/news/nation/2021/06/13/jkjav-changes-to-vaccination-appointments-from-june-14-18-at-mitec-check-mysejahtera-for-updates