- Dalam perbahasan Parlimen mengenai “Rang Undang-Undang Penagih Dadah (Rawatan Dan Pemulihan) (Pindaan) 2024”, saya telah menggesa kerajaan untuk memperluaskan rawatan pemulihan dadah ke kawasan luar bandar dan terpencil serta memberi perhatian serius terhadap masalah penyalahgunaan gam dan ubat batuk.
- Statistik menunjukkan bahawa kes penagihan dadah meningkat sebanyak 27% dalam tempoh enam bulan pertama 2023, mencapai 118,820 kes berbanding 93,534 dalam tempoh yang sama tahun lepas. Lebih separuh daripada kes ini melibatkan belia dan remaja.
- Menurut Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2022, kira-kira 106,000 remaja Malaysia pernah mencuba dadah, dengan 60,000 daripada mereka kini sedang menggunakan dadah. Tinjauan menunjukkan bahawa ramai remaja mula menggunakan dadah sebelum umur 14 tahun, menekankan kepentingan intervensi awal.
- Dalam perbahasan di Parlimen, saya menyatakan bahawa terdapat hanya 30 buah Pusat Pemulihan Penagihan Narkotok (PUSPEN) di bawah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di seluruh negara. Beberapa negeri seperti Sabah, Sarawak, Terengganu dan Negeri Sembilan hanya mempunyai sebuah PUSPEN, ini jelas tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan rawatan seluruh negara.
- Saya menggesa kerajaan untuk menambah bilangan PUSPEN di seluruh negara, dengan keutamaan diberikan kepada kawasan yang mempunyai kadar penagihan dadah yang tinggi. Saya juga mencadangkan agar kerajaan bekerjasama dengan organisasi bukan kerajaan (NGO) dengan memberikan sokongan kewangan untuk meningkatkan capaian program pemulihan dan memperluaskan perkhidmatan pemulihan ke kawasan luar bandar dan terpencil.
- Selain itu, saya juga menyeru kerajaan untuk memberi perhatian serius terhadap penyalahgunaan ubat batuk dan gam. Walaupun bahan-bahan ini biasa ditemui, penyalahgunaan dan penggunaan berlebihan boleh menyebabkan ketagihan yang mirip dengan pengambilan dadah dan memberikan kesan negatif kepada masyarakat, namun ia tidak dikategorikan sebagai kesalahan yang boleh dikenakan tindakan.
- Kita mesti memberi perhatian yang serius terhadap masalah penyalahgunaan dadah melalui penambahan PUSPEN serta kerjasama dengan NGO, dengan harapan dapat mengurangkan kes ketagihan dadah, terutamanya dalam kalangan belia dan remaja.
MP Bakri Menyeru Kerajaan Memberi Perhatian Serius Terhadap Masalah Penyalahgunaan Gam dan Ubat Batuk
- 6 July 2024
- Tan Hong Pin
- Ahli Parlimen Bakri
- Kenyataan Media oleh Tan Hong Pin pada 6hb Julai 2024 di perbahasan Rang Undang-Undang Penagih Dadah (Rawatan Dan Pemulihan) (Pindaan) 2024