Sejak Ahli Parlimen Liew Chin Tong diberi kepercayaan oleh rakyat Kluang untuk menjadi wakil mereka disini, pejabat beliau sendiri telah beberapa kali memohon dengan pihak berkuasa tempatan Majlis Perbandaran Kluang (MPK) untuk menaikkan ‘billboard’ bagi tujuan menyampaikan maklumat kepada rakyat. Namun sehingga kini permohonan tersebut tidak pernah diluluskan.
Kami telah mengadakan pertemuan bersama pihak Jabatan Kerja Raya. Dari perbincangan yang telah dijalankan, tiada alasan yang munasabah untuk pihak MPK menyekat seorang wakil rakyat khususnya dari menaikkan ‘billboard’ sepertimana yang telah dilakukan oleh ADUN Mahkota YB Jais Sarday mahupun Ketua Bahagian MCA Kluang Sdr Gan Ping Sieu di beberapa lokasi disini.
Justeru semalam, Pakatan Harapan Kluang telah menaikkan ‘billboard’ ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri dekat kawasan bulatan Yap Tau Sah.
Kami berharap tiada pihak termasuklah MPK yang cuba menurunkan ‘billboard’ ucapan Selamat Hari Raya ini sepertimana perkara tersebut tidak dilakukan kepada ‘billboard’ ADUN Mahkota dan Ketua Bahagian MCA Kluang.
Peluang sama rata seharusnya diberikan atas semangat menjunjung keadilan untuk semua dalam sebuah negara yang demokratik. Tiada pihak yang perlu ambil sikap ‘pilih bulu’ sehingga satu pihak diberikan keistimewaan sedangkan satu pihak yang lain dinafikan hak dan didiskriminasi.
Dalam soal pentadbiran, pihak berkuasa perlu bertindak waras demi kesejahteraan rakyat dan tidak menjadi alat untuk kepentingan politik parti-parti tertentu.
Namun malangnya, sekitar jam 10.00 pagi tadi, kami mendapati ‘billboard’ ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri Pakatan Harapan Kluang yang dinaikkan semalam sudah diturunkan. Rangka pemidang juga turut sama dirobohkan.
Kami tidak mengetahui siapakah yang melakukannya tetapi kami amat sangsi sekiranya pihak Majlis Perbandaran Kluang (MPK) yang melaksanakannya.
Kami ingin bertanya kepada pihak MPK, adakah ‘billboard-billboard’ lain melibatkan pemimpin Barisan Nasional (BN) yang terdapat di serata Kluang merupakan ‘billboard’ yang sah dan legal mengikut prosedur?
Sebagai perbandingan, ‘billboard’ program anjuran MCA Kluang yang sudah tidak lagi relevan masih terpampang megah di bulatan yang sama dekat Yap Tau Sah sekalipun tarikh program telah luput. Sedikit pun tidak terusik. Sedangkan ‘billboard’ ucapan Selamat Hari Raya kami dirobohkan dalam masa kurang 24 jam ia dipasang!
Jika MPK boleh memberikan kebenaran kepada BN, ruang yang sama sepatutnya turut diberikan kepada Pakatan Harapan. ‘Billboard’ Pakatan Harapan tidak sepatutnya dirobohkan. apatah lagi tidak sampai pun 24 jam dari waktu ia dipasang.
Tindakan seperti ini perlu dikecam. Ia sama sekali tidak demokratik, tidak adil dan hanya memberikan imej hodoh kepada pihak berkuasa tempatan yang bertindak ibarat lembu dicucuk hidung demi kepentingan politik BN.