Tindakan Majlis Perbandaran Muar (MPM) untuk menghalang penjaja-penjaja kecil daripada menjalankan urusan perniagaan mereka adalah juga satu contoh sindrom penafian yang dihadapi oleh pelbagai agensi Kerajaan ketika ini. Sebagai sebuah pihak berkuasa tempatan, seharusnya MPM memahami akan sebab sebenar kesesakan jalanraya sepanjang Jalan Maharani menuju ke Jalan Salleh.
MPM sememangnya merupakan pihak penguatkuasaan yang mempunyai undang-undang kecil dan kuasa untuk menentukan polisi dan dasar pembangunan bandar ini. Namun, adalah lebih molek sekiranya kuasa itu turut disertai dengan sedikit belas ihsan, kemanusiaan dan meletakkan keutamaan pada tempatnya. Di saat situasi ekonomi yang agak perlahan ketika ini, sudah pastilah semua rakyat akan merasai kesannya. Tidak bolehkah MPM mengambil pendekatan yang sedikit lembut dalam berhadapan dengan penjaja-penjaja ini?
Begitu juga, MPM perlu melihat akar permasalahan trafik di dalam bandar ini. Kesesakan jalanraya di Jalan Maharani menuju ke Jalan Salleh sebenarnya berpunca daripada Hentian Bas Ekspress Bentayan yang masih tidak dialihkan walaupun telah terdapat cadangan sebelum ini. Bertahun-tahun rakyat Muar terpaksa menghadapi kesulitan ini. Malahan, tindakan MPM sebelum ini yang telah menaiktaraf Hentian Bas Ekspress tersebut juga tidak menyelesaikan masalah trafik dengan tuntas. Untuk menutup kelemahan dan ketidakmampuan MPM menyelesaikan masalah trafik, maka penjaja-penjaja kecil di waktu malam ini menjadi mangsa.
Sekiranya, aspek kebersihan kawasan penjaja ini menjadi halangan maka, MPM dan Jabatan Kesihatan Daerah Muar boleh melakukan rondaan dan pemeriksaan di lokasi penjaja berniaga bagi melihat tahap kebersihan. MPM dan Jabatan Kesihatan Daerah Muar perlu mendidik penjaja ini berkait hal kebersihan dan mendisiplinkan mereka. Sekiranya selepas itu, mereka terus ingkar, bolehlah diambil tindakan sama ada denda atau lain-lain. Jika berterusan, MPM barulah MPM boleh bertindak menghalang mereka daripada menjaja.
Saya juga mendapatkan makluman daripada orang ramai, MPM meletakkan pasukan pemantau bagi memastikan tiada lagi penjaja kecil berniaga di dalam bandar ini. Saya merasakan adalah lebih baik sekiranya pihak MPM yang mempunyai tenaga kerja pemantau ini menempatkan pasukan ini untuk meninjau dan melaporkan keadaan prasarana awam yang rosak dan tidak berfungsi. Ini akan memberikan impak positif kepada kesejahteraan hidup rakyat.
Saya juga ingin membangkitkan persoalan mengapakah polisi baru ini yang melibatkan ramai penjaja-penjaja kecil tidak dibangkit di laman sesawang MPM, Facebook dan media massa. Yang Dipertua MPM pernah menyatakan MPM akan mengadakan satu sesi taklimat media setiap kali mesyuarat diadakan tetapi nampaknya MPM seringkali gagal dalam perkara ini. Kegagalan demi kegagalan untuk menghebahkan maklumat penting berhubung polisi semasa bandar ini, telah memunculkan wajah sebenar MPM yang bercakap tak serupa bikin.
Sehubungan itu, saya menyeru pihak MPM untuk membatalkan keputusan larangan penjaja-penjaja kecil daripada berniaga dan sebaliknya menilai semula kelemahan mereka sendiri. Jadilah sebuah badan berkuasa yang sentiasa mendengar keluh kesah rakyat bukannya menggunakan kuasa tanpa ada ihsan dan kemanusiaan.