Skip to content

MPM tidak perlu menjadi alat Barisan Nasional

Majlis Perbandaran Muar (MPM) pada 21 Julai 2017 telah memuatnaik satu tweet dalam akaun twitter rasminya berkenaan dengan akujanji Barisan Nasional Johor pada Pilihanraya Umum Ke-13. Sebagai Pihak Berkuasa Tempatan, MPM tidak seharusnya bersifat partisan dan memihak kepada mana-mana parti politik tertentu.

MPM perlu menyedari bahawa tugas utamanya adalah untuk berkhidmat kepada rakyat secara keseluruhannya bukan menjadi alat propaganda kempen parti politik. Laman twitter rasmi MPM sepatutnya digunakan sebagai sebahagian saluran media baharu untuk MPM menghebahkan isu-isu atau program-program yang berlaku dalam kawasan operasinya seperti penutupan jalan untuk kerja penaiktarafan atau penyelenggaraan fasiliti, waktu dan lokasi operasi kaunter bergerak dan sebagainya.

Adalah amat dikesali apabila pengendali laman twitter MPM menjadi keliru dan tidak dapat membezakan antara laman rasmi sebuah Pihak Berkuasa Tempatan dan laman media sosial parti politik. Justeru itu, saya menyeru agar pihak MPM menjadi lebih profesional dalam membezakan antara hebahan program Kerajaan dengan kempen parti politik tertentu.

Saya juga menasihatkan agar pihak MPM mengoptimumkan penggunaan laman media sosialnya sebagai antara sumber interaksi antara PBT dengan rakyat keseluruhannya. PBT patut bebas daripada kawalan tuan-tuan politik.

Insiden ini juga menyerlahkan bahawa PBT di negeri Johor cenderung untuk menjadi sebahagian daripada aparat dan jentera parti politik setelah sebelum ini MCA diberikan layanan istimewa untuk mengadakan mesyuarat di dewan persidangan Majlis Daerah Yong Peng sedangkan ia dihadkan untuk kegunaan dalaman PBT sahaja.