MUDA tidak patut terlalu tergesa-gesa dan patut bekerjasama dengan kerajaan perpaduan Anwar dalam enam pilihan raya negeri pada bulan Ogos
Malaysia berhadapan dengan peluang terakhir untuk kita tetapkan semula dan kembalikan negara kita kepada prinsip-prinsip asal pembinaan negara majmuk Malaysia yang diterapkan oleh tokoh-tokoh kemerdekaan negara (termasuklah tiga Perdana Menteri terawal yang juga merupakan Presiden UMNO) ke dalam Perlembagaan dan Rukun Negara – prinsip-prinsip raja berperlembagaan, demokrasi berparlimen, pemisahan kuasa, kedaulatan undang-undang, Islam sebagai agama rasmi dengan kebebasan beragama untuk semua kepercayaan lain, tadbir urus yang baik, integriti awam dan rasuah yang minima, meritokrasi, hormat terhadap hak asasi manusia, dan perpaduan nasional dari masyarakat pelbagai kaum, bahasa, agama, dan budaya.
Penting untuk kita ingat dan tekankan yang “Abang Besar” dalam Perikatan Nasional (PN), PAS, tidak pernah menyatakan sokongan terhadap Rukun Negara sebagai prinsip asas pembinaan sebuah Malaysia yang majmuk.
Adakah usaha-usaha kerajaan perpaduan Anwar untuk mengembalikan negara kita kepada prinsip-prinsip asal sebuah Malaysia yang majmuk ini akan diteruskan dan Malaysia akan menjadi juara dunia sekali lagi dalam semua bidang yang diceburi manusia, atau adakah Malaysia akan kembali ke hala tuju menjadi sebuah negara yang berpecah belah, gagal, dan korup dalam beberapa dekad yang akan datang?
Inilah erti sebenar enam pilihan raya negeri yang bakal berlangsung pada bulan Ogos – sama ada Malaysia akan menghentikan kemerosotan yang disaksikan negara dalam beberapa dekad yang lepas dan bangkit semula menjadi juara dunia dalam pelbagai bidang yang diceburi manusia atau sama ada Malaysia akan terjunam semula ke arah menjadi sebuah negara yang gagal, berpecah belah, dan korup.
Walau bagaimana pun kekurangan dan kelemahan kerajaan-kerajaan negeri sedia ada di Pulau Pinang, Selangor, dan Negeri Sembilan, adakah para pengundi di negeri-negeri ini mahu melihat negeri mereka menjadi seperti Kelantan, Terengganu, atau Kedah, atau adakah mereka sebaliknya mahu melihat Kelantan, Terengganu, dan Kedah menjadi seperti Pulau Pinang, Selangor, dan Negeri Sembilan, di mana KDNK per kapita di Pulau Pinang adalah empat kali ganda lebih tinggi berbanding dengan Kelantan?
Malaysia tidak boleh hanya menjadi juara dunia sahaja tetapi juga perlu menjadi contoh dialog, persefahaman, toleransi, dan keharmonian antara etnik, agama, budaya, dan tamadun kepada dunia.
Adakah PN yang terdiri dari PAS dan Bersatu bersetuju dengan misi nasional ini?
Malaysia mempunyai saiz populasi di tempat ke-45 terbesar dunia, tapi pada suatu ketika dahulu kita juga berada di tempat ke-20 dari segi jumlah kematian akibat Covid-19 semasa Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri.
Malaysia tidak mahu menjadi “juara dunia” sebegini.
Kita perlu capai lebih dari apa yang dijangkakan.
Apa yang kita mahukan adalah pencapaian positif seperti memenangi Piala Thomas, acara Olimpik, mempunyai universiti yang terbaik, saintis dan pakar IT yang terbaik, malah untuk memenangi Anugerah Nobel.
Para pimpinan MUDA patut mempertimbangkan semula keputusan mereka untuk bertanding bersendirian dalam enam pilihan raya negeri yang akan datang.