antan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengulangi dakwaan bahawa Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan, bertanggungjawab terhadap keputusan menghapuskan pengecualian cukai ataupun mengenakan semula cukai dan cukai penalti 45% ke atas Yayasan Al-Bukhary. Muhyiddin mendakwa saya bertanggungjawab membatalkan pengecualian cukai, mengenakan semula cukai dan cukai penalti yang telah diberikan sebelum ini kepada Yayasan Al-Bukhary untuk menjalankan kerja amal Islam.
Malangnya, Muhyiddin masih tidak jujur sekadar “cakap kosong” tanpa menunjukkan sebarang bukti untuk menyokong dakwaannya terhadap saya. Muhyiddin memang berbohong kerana terus gagal menunjukkan surat arahan spesifik daripada saya sebagai Menteri Kewangan untuk membatalkan pengecualian cukai, mengenakan cukai dan cukai penalti 45% yang diberikan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) kepada Yayasan Al-Bukhary.
Muhyiddin harus fikir baik-baik sebelum berdegil dengan pembohongan berniat jahat ke atas saya. Sungguh jelas Muhyiddin cuba memainkan sentimen, menghasut dan mengapi-apikan rakyat dengan menuding jari kepada saya yang membatalkan pengecualian cukai yang dinikmati oleh sebuah pertubuhan amal Islam.
Adalah lebih baik Muhyiddin memberi fokus komprehensif kepada pertuduhan rasuah oleh SPRM dan bukan berdepan dengan prosiding mahkamah saman malu yang akan memaksa beliau membayar ganti rugi, menarik balik dan memohon maaf atas fitnahnya. Muhyiddin kini sedang berdepan dengan enam pertuduhan salah guna kuasa untuk rasuah berjumlah RM232.5 juta dan pengubahan wang haram sebanyak RM195 juta, antara tahun 2020 hingga 2022 lalu.
Saya masih akan berikan Muhyiddin sehingga hari Rabu untuk memohon maaf dan menarik balik fitnahnya ke atas saya demi mengelakkan daripada berdepan dengan tindakan saman malu. Sekiranya terdesak, saya tidak ada pilihan melainkan mengambil tindakan saman malu terhadap Muhyiddin untuk mengelakkan diri daripada diheretkan dalam pertuduhan rasuah beliau, yang tidak ada kena-mengena dengan saya.