Muhyiddin Yassin adalah Perdana Menteri Malaysia yang paling teruk dalam sejarah dengan menerapkan sistem Hotspot Identification for Dynamic Engagement (HIDE) malam tadi, memerintahkan semua lokasi yang disenaraikan di bawah HIDE ditutup serta merta selama tiga hari. Ini adalah sebuah kerajaan yang tidak bertanggungjawab yang mengeluarkan arahan pada saat akhir, tanpa mempertimbangkan kerugian besar kewangan yang akan ditanggung oleh perniagaan, terutama PKS.
Terdapat juga amalan dua darjat, di mana stesen dan terminal pengangkutan awam yang disenaraikan oleh sistem HIDE akan tetap dibuka sementara kedai di stesen pengangkutan harus ditutup. Kerajaan perlu memutuskan sama ada kedai di stesen pengangkutan adalah sumber jangkitan atau stesen pengangkutan itu sendiri? Tidak ada sebab mengapa kedai yang tidak mempunyai kes COVID-19 mesti ditutup, hanya kerana kedai yang berdekatan mempunyai kes COVID-19.
Sistem HIDE juga nampaknya menghukum tingkah laku yang baik dengan mensasarkan premis yang memberikan data dengan patuh tetapi melepaskan mereka yang gagal mematuhi dan oleh itu tidak berada dalam pangkalan data. PN masih dalam penafian bahawa ketidakcekapan mereka telah menjadikan Malaysia sebagai negara terburuk di Asia-Pasifik, dari segi kes harian COVID-19 per kapita. Negeri-negeri seperti Kelantan, Pulau Pinang dan Sarawak, yang sebelum ini merupakan zon hijau, kini menjadi tapak panas jangkitan baharu.
Vietnam telah memalukan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin tahun lalu, memintas Malaysia dengan KDNK yang lebih besar daripada Malaysia, hanya 40 tahun setelah berakhirnya Perang Vietnam yang membuat seluruh negara tersebut hancur. Malaysia kini mengalami penghinaan besar ketika Indonesia menasihatkan rakyatnya agar tidak menjadi seperti Malaysia dalam menangani krisis COVID-19.
Pada masa lalu, walaupun terdapat banyak kekurangan dan kelemahan, semua telah mengakui bahawa Malaysia memiliki penyampaian perkhidmatan yang hebat dan tadbir urus yang lebih baik daripada Indonesia. Kami dalam pembangkang juga tidak boleh percaya bahawa Indonesia lebih baik daripada Malaysia dalam memerangi dan menguruskan wabak COVID-19. Di bawah kerajaan Muhyiddin yang tidak cekap, Vietnam terus maju memintas kita secara ekonomi dan Indonesia menggunakan Malaysia sebagai contoh iktibar apa yang salah dalam memerangi COVID-19.
Tiada guna mencari penyelesaian untuk masalah, apabila keseluruhan Kerajaan PN adalah masalahnya. SOP COVID-19 yang berubah-ubah, pusingan U dasar dan amalan dua darjat dalam penguatkuasaan, nasihat separuh matang tidak membantu mengawal lonjakan terbaru jangkitan COVID-19. Dari nasihat Menteri untuk minum air suam bagi menghentikan COVID-19 hingga amalan dua darjat di mana VIP yang melanggar sekatan. PKP terlepas dari hukuman atau dihukum dengan ringan berbanding dengan rakyat biasa, kita sekarang memiliki seorang Timbalan Menteri yang menjadi tajuk utama akibat teori konspirasi.
Timbalan Menteri Perpaduan Nasional Ti Lian Ker telah ditekan untuk menjelaskan ciapan yang dia muat naik, dengan salah mengaitkan pengasas jutawan Microsoft Bill Gates dengan penyebaran Covid-19 dan mendakwa bahawa pandemik ini mungkin telah dirancang. Adakah Ti Lian Ker tidak mempunyai apa-apa yang lebih baik daripada melayan teori konspirasi berbanding menghabiskan setiap saat untuk mendapat gaji sebagai Timbalan Menteri dalam membantu memerangi COVID-19 dengan mencari cara untuk meningkatkan kadar vaksinasi? Ti pasti sudah kehabisan idea pihak yang ingin dipersalahkan selain menyalahkan rakyat kerana menyebarkan COVID-19, sehingga dia sekarang ingin mengalihkan perhatian kepada Bill Gates!
Dengan melindungi Menteri-Menteri yang tidak berguna dalam kerajaan, Muhyiddin tidak membantu sama ada bagi mengawal jumlah lonjakan jangkitan COVID-19 atau mempercepat Program Imunisasi Nasional. Kadar vaksinasi sangat perlahan dengan kurang dari satu juta rakyat Malaysia atau hanya 3% yang menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin. Ini menjadikan sasaran Disember tahun ini untuk memvaksinasi 80% daripada 32 juta penduduk Malaysia hampir mustahil.
Pada kadar sekarang, kita memerlukan sekurang-kurangnya 3 tahun untuk memberikan sekurang-kurangnya satu dos kepada 80% penduduk. Sama ada Muhyiddin masih menjadi Perdana Menteri dalam masa 3 tahun tidak lagi penting, kerana ekonomi Malaysia sudah hancur sepenuhnya ketika itu.