Mantan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin harus meminta maaf dan menarik balik fitnah jahatnya yang dilemparkan terhadap saya dalam satu sidang akhbar di luar Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia(SPRM) pada 9 Mac 2023 bahawa,
“Selepas PRU 14, kerajaan gabungan PH tertubuh. Menteri Kewangan daripada DAP Lim Guan Eng telah membatalkan pengecualian yang telahpun diluluskan kepada Yayasan alBukhary.”
Saya ingin menekankan dengan tegas bahawa semasa menjadi Menteri Kewangan, saya tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan spesifik untuk membatalkan pengecualian cukai yang telah diluluskan oleh kerajaan BN terhadap Yayasan alBukhary. Jelas sekali, fitnah Muhyiddin yang tidak berasas ini berniat jahat untuk memainkan sentimen bagi mengalihkan perhatian rakyat daripada empat pertuduhan salah guna kuasa dan dua pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM232.5 juta yang dihadapi beliau.
Amat mudah untuk mengapi-apikan atau menghasut perasaan rakyat yang mampu menggugat harmoni dan ketenteraman awam dengan menuduh saya sengaja membatalkan pengecualian cukai yang diberikan kepada sebuah pertubuhan kebajikan Islam. Saya telahpun mencabar Muhyiddin bagi menunjukkan surat yang menunjukkan saya keluarkan arahan sebagai Menteri Kewangan untuk membatalkan pengecualian cukai kepada Yayasan alBukhary.
Saya yakin Muhyiddin tidak mampu menunjukkan surat tersebut kerana ia sememangnya tidak wujud langsung dan semata-mata satu rekaan beliau. Nyata bahawa Muhyiddin tidak mengulangi fitnah beliau terhadap saya dalam sidang akhbar di luar Mahkamah Kuala Lumpur pada 10 Mac. Ini adalah petunjuk bahawa beliau sendiri sedar tentang fitnah jahat beliau terhadap saya.
Oleh demikian, beliau harus meminta maaf dan menarik balik fitnah jahat ke atas saya. Memandangkan beliau sibuk dengan kes pertuduhan ke atasnya oleh SPRM, termasuk menghadapi satu lagi pertuduhan oleh SPRM pada hari Isnin ini, saya akan beri beliau sehingga hari Rabu untuk menyatakan kebenaran dan membersihkan nama saya.
Sekiranya beliau gagal memohon maaf dan menarik balik fitnah jahat beliau terhadap saya, saya akan mengarahkan peguam saya untuk memulakan prosiding perundangan saman malu dengan segera.