Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin sepatutnya menukar peguam yang menasihatinya bahawa Menteri Kewangan bertanggungjawab secara peribadi terhadap sebarang keputusan yang diambil oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) ke atas mana-mana pembayar cukai walaupun tiada arahan khusus dikeluarkan atau diterima oleh Menteri. Muhyiddin berkata beliau tidak akan menarik balik dakwaannya bahawa Lim, sebagai menteri kewangan ketika itu telah membatalkan status pengecualian cukai Yayasan Albukhary walaupun Muhyiddin gagal mengemukakan dakwaan surat pembatalan yang saya keluarkan.
Ini adalah dakwaan rekaan yang serius bahawa saya telah bertindak terhadap sebuah yayasan kebajikan Islam yang bersifat menghasut kerana ini satu tuduhan yang tidak berasas. Kecuali dibantah dengan keras, kenyataan berbaur hasutan sebegini boleh menyemarakkan sentimen yang menjejaskan perpaduan kaum dan mengancam keharmonian agama.
Terdapat kenyataan fitnah yang sama dibuat oleh pembayar cukai bukan Islam dari Pulau Pinang terhadap saya yang mengatakan bahawa saya telah arahkan dan bertanggungjawab terhadap tindakan yang diambil oleh LHDN. Pembayar cukai bukan Islam itu tidak dapat mengemukakan sebarang bukti atau surat bahawa saya telah mengarahkan LHDN bertindak terhadapnya. Saya memfailkan tindakan fitnah dan berjaya, dengan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa saya tidak terlibat.
Sekiranya tiada arahan khusus, bagaimana seorang Menteri boleh bertanggungjawab ke atas setiap tindakan pelbagai agensi dan GLC di bawah bidang kuasanya. Jika itu berlaku, maka sebagai Perdana Menteri, Muhyiddin harus bertanggungjawab terhadap setiap perbuatan rasuah yang dilakukan oleh semua pegawai kerajaan di negara ini. Apa jenis logik sesat dan tidak bertanggungjawab ini?
Muhyiddin harus sama ada mengemukakan surat pembatalan yang saya keluarkan atau meminta peguamnya menasihati dengan betul untuk mengelakkan daripada menghadapi prosiding sivil fitnah yang tidak perlu. Memandangkan jelas tiada surat pembatalan sedemikian, dia harus memohon maaf dan menarik balik kenyataan palsunya atau jika tidak, berdepan saman fitnah yang memerlukan dia bukan sahaja melakukan perkara yang sama tetapi juga membayar ganti rugi. Muhyiddin mempunyai masa sehingga Rabu untuk memutuskan sama ada beliau mahu menghadapi prosiding mahkamah tambahan selain daripada pertuduhan rasuah semasa terhadapnya.