Kenyataan Menteri Besar (MB) Kedah Mukhriz Mahathir untuk meminta kerajaan pusat menaikkan bayaran tahunan RM10,000 atas kepada Kedah atas perjanjian penjajah terhadap Pulau Pinang amat memalukan.
Saya tidak menyangka seorang bertaraf Menteri Besar seperti Mukhriz Mahathir beria-ia merujuk kepada perjanjian oleh si penjajah 227 tahun yang lalu di zaman negeri-negeri di Tanah Melayu dijajah oleh British. Ini menunjukkan beliau masih terperangkap dalam mentaliti orang yang kena jajah.
Fokus majukan Kedah
Mukhriz sepatutnya fokus untuk memajukan negeri Kedah demi kebajikan rakyat dan bukan cuba nasib meminta dana tambahan dari kerajaan pusat melalui pintu belakang dengan alasan perjanjian penjajah tersebut.
Ayahanda Mukhriz, Dr. Mahathir Mohamad semasa menjadi Perdana Menteri pada tahun 1994 pernah menolak tuntutan yang sama oleh MB Kedah masa itu Osman Aroff. Malah Dr. Mahathir menyifatkan perjanjian dan pembayaran tersebut sebagai “meaningless”, tidak membawa apa-apa makna. Tindakan Mukhriz tersebut sudah tentu memalukan Dr. Mahathir sendiri.
Hentikan legasi penjajah
Kita sudah merdeka 56 tahun dan Kedah serta Pulau Pinang kini negeri berjiran bernaung di bawah Persekutuan Malaysia. Kebenaran ini sudah termaktub dalam Perlembagaan kita bahawa kedua-dua negeri tersebut adalah dua negeri berbeza (khususnya Perkara 1(2)).
Saya menyeru kepada kerajaan pusat supaya menghentikan legasi penjajah dan memansuhkan bayaran tahunan RM10,000 kepada Kedah. Lebih baik wang tersebut disalurkan secara terus kepada dana pembangunan Kedah demi kebajikan dan kesejahteraan rakyat negeri tersebut.