Skip to content

Mungkinkah tiga menteri MCA akan berani mempertahankan kebenaran atau terus sahaja menjadi bacul?

Niat baik orang paling kaya di Malaysia, Tan Sri Robert Kuok nampaknya telah menjalani suatu perjalanan yang cukup menarik sepanjang tiga hari lalu. Beliau dimarah, diberi amaran dan dicerca oleh anggota Kabinet Malaysia. Namun dalam perkembangan menarik semalam, Kuok menerima tabik hormat daripada Perdana Menteri.

Pemimpin UMNO termasuk Perdana Menteri memberi pelbagai gelaran kepada Kuok, daripada menggelarnya pengecut ‘tak ada telur’ sehinggalah ‘kisah kejayaan rakyat Malaysia’, semuanya dalam masa tiga hari sahaja. Kalau ini bukan jenaka politik tahap paling tinggi, entahlah nak panggil apa.

Parti pemerintah yang satu lagi, MCA- yang tidak pernah berhenti menerima sumbangan politik daripada Kuok, muncul mempertahankan beliau, walaupun sungguh menyedihkan. MCA mulanya meminta UMNO supaya tidak biadab terhadap beliau, kemudian seorang menteri Kabinet MCA mengakui beliau tidak cerdik setelah diherdik oleh seorang lagi menteri Kabinet UMNO. Terbaru, President MCA Liow Tiong Lai berkongsi harapan supaya Najib Razak masuk campur dalam ‘fiasco’ Kuok ini di laman Twitter.

Kenapa Presiden MCA, sebuah parti yang mengaku ia juara isu masyarakat Cina, tidak menelefon Najib sendiri, atau duduk bersembang dengan Perdana Menteri itu bagi membela Kuok? Atau adakah Liow sebenarnya si pengecut yang tidak berani berdepan Presiden UMNO?

Jika pemimpin UMNO boleh memaki hamun dan memfitnah Kuok tanpa sebarang asas, seorang penyumbang politik terbesar kepada UMNO dan salah seorang juga penyumbang terbesar kepada ekonomi negara, ikut suka hati mereka, apalah nasib ahli perniagaan biasa untuk selamat daripada para pembuli UMNO?

Jika MCA, parti pemerintah yang mewakili masyarakat Cina, tidak boleh mempertahankan Kuok- warga Cina paling kaya di Malaysia dan yang kedua paling kaya di Asia Tenggara, daripada serangan tidak berasas UMNO, apalah lagi yang boleh dibuat oleh MCA untuk warga Cina kebanyakan?

Paling kurang, apa yang boleh dibuat oleh pimpinan MCA untuk Kuok dan masyarakat Cina ialah supaya tiga menterinya berdepan Najib dan menteri-menteri UMNO dalam mesyuarat Kabinet dan meminta mereka menarik balik tuduhan-tuduhan palsu terhadap Kuok.

Mungkinkah tiga menteri MCA ini akan berani mempertahankan kebenaran atau terus sahaja menjadi bacul?