Skip to content

Naikkan bantuan bulan kebajikan masyarakat kepada RM1,000 yang akan menelan belanja RM1 bilion sebulan bagi membantu golongan yang memerlukan dan penganggur

Parti-parti komponen PN telah hilang keazaman mereka untuk menjaga kebajikan rakyat dan lebih berniat untuk berebut kuasa setelah keputusan UMNO menarik diri dari Kerajaan PN dan menyebabkan kehilangan majoriti parlimen Perdana Menteri Mahiaddin Md Yasin. Perdana Menteri yang sudah “tidak sah” dari segi politik ini sekarang menghabiskan masa dan tenaga untuk berjuang menyelamatkan nyawa politiknya dengan mengorbankan mata pencarian rakyat.

Adakah Kerajaan PN sudah lupa dengan pernyataan Presiden Persatuan Peruncit Bumiputera dan Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings, Ameer Ali Mydin bahawa kes kecurian di pasar raya semasa pandemik COVI-19 sangat menyedihkan kerana tidak melibatkan barang bernilai tinggi seperti set televisyen dan pembesar suara tetapi telah beralih kepada produk makanan seperti ikan dan sayur-sayuran. Dia menambah bahawa penjualan mi segera juga meningkat “sangat, sangat tinggi”.

Ini adalah petunjuk umum bagi sebuah kerajaan yang tidak berfungsi dengan gagal melaksanakan tugas asas mereka untuk memenuhi keperluan penting rakyat, terutama golongan miskin, penganggur dan perniagaan yang menghadapi penutupan. Itulah sebabnya DAP mencadangkan pembayaran bantuan bulanan kebajikan masyarakat dinaikkan kepada RM1,000, termasuk penganggur yang akan menelan belanja tambahan RM1 bilion setiap bulan.

Berapa sangatlah tambahan RM1 bilion setiap bulan berbanding dengan kos “total lockdown” sekarang yang dianggarkan berjumlah RM170 bilion oleh pakar ekonomi? DAP tidak mencadangkan jumlah yang lebih tinggi sebanyak RM1,500 setiap bulan kerana kenaikan bantuan bulanan kebajikan masyarakat kepada RM1,000 ini adalah janji yang dibuat oleh Mahiaddin semasa janji pilihan raya negeri Sabah tahun lalu. Sehingga kini janji ini hanya sekadar janji kosong.

Sebaliknya, kita hanya melihat janji-janji seperti melantik Timbalan Menteri, Menteri atau bahkan Timbalan Perdana Menteri yang ditunaikan, tanpa memberi sebarang kesan positif kepada negara dalam mengurangkan jumlah tertinggi kes dan kematian COVID-19, proses vaksinasi yang cepat dan lancar serta membantu pekerja yang terdesak dan perniagaan yang dalam kesusahan.

Kerajaan tidak seharusnya terperangkap dalam cara pemikiran kewangan yang lama dan ortodoks tetapi menggunakan pendekatan yang lebih dinamik ketika negara ini menghadapi krisis yang sekali dalam sejarah ini. Perlu ada siri bantuan kewangan secara berkala demi menyelamatkan pekerjaan, perniagaan, dan mata pencarian. Kaedah lama bantuan “one-off” adalah bantuan kewangan sementara yang tidak akan melindungi mata pencarian ekonomi pekerja biasa dan rakyat Malaysia yang mengalami masalah kewangan.