Skip to content

Najib kelihatan sebagai hero dalam tragedi MH17, tetapi kejadian-kejadian di tanah air sendiri terus gagal ditangani

Perdana Menteri Dato Sri Najib Tun Razak sewajarnya mendapat puji-pujian atas pendekatan beliau menangani tragedi MH17. Tahniah untuk Najib Razak yang kononnya lebih hebat daripada Obama dan Putin seperti kata sepupunya.

Namun itu sahaja tidak boleh menjadi ukuran prestasi Perdana Menteri, apabila beliau ternyata telah gagal dalam banyak hal lain. Kita tidak perlu hairan kenapa Tun Dr Mahathir sendiri pun telah berputus asa dengan beliau.

Mudah bagi Najib untuk kelihatan sebagai hero dalam tragedi MH17, padahal kejadian-kejadian di tanah air sendiri terus gagal ditangani; termasuk kejadian pencerobohan dan penculikan yang terus berlaku berulang kali di Sabah contohnya.

Bukan setakat itu sahaja, perhimpunan awam bersifat perkauman juga kian sering dilakukan, dan seolah-olah mendapat restu pihak berkuasa sehinggakan tidak ada tindakan langsung diambil terhadap mereka; contohnya peserta perhimpunan Pemuda Umno Kuala Lumpur yang merusuh di ibu pejabat kebangsaan DAP tempoh hari.

Najib juga kelihatan selamba sahaja bersetuju dengan kenyataan-kenyataan perkauman, termasuk kenyataan ‘balik Tongsan’ oleh orang yang sama yang mengetuai rusuhan di ibu pejabat DAP seperti disebut di atas.

Najib gagal menjanjikan keharmonian kaum di saat negara menghampiri ulangtahun kemerdekaan ke-57 beberapa hari sahaja lagi, dan beliau tidak langsung menunjukkan sebarang rasa bersalah atau bertanggungjawab ke atas kegagalan tersebut.

Sewajarnya Najib dan pentadbirannya mencontohi tindakan Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Azhar Abdul Hamid yang meletakkan jawatan berikutan kemalangan di tapak pembinaan projek MRT yang meragut nyawa tiga pekerja warga asing semalam.

Tindakan meletakkan jawatan sebagai sikap bertanggungjawab atas sesuatu kegagalan tidak pernah menjadi amalan di negara ini. Ia wajar dipuji dan dijadikan tauladan oleh semua pemimpin politik seluruh negara.

Adakah Najib dan anggota kabinetnya akan menjadikan Datuk Azhar sebagai contoh ikutan mereka, dan bukan sekadar menerima pujian untuk sesetengah hal, tetapi lari dari tanggungjawab dan kegagalan untuk banyak hal yang lain?