Perdana Menteri berkata baru-baru ini, JIKA rakyat Malaysia – “hidup ikut kemampuan diri, kamu akan OK.”
Najib ini adalah golongan elit aristokrat Pahang, anak bekas Perdana Menteri yang hidup senang. Selepas graduasi, dia ditawar bekerja di syarikat berkaitan kerajaan sementera mewarisi kerusi politik ayahnya. Dia diangkat sebagai timbalan menteri di usia 25 tahun – mungkin kerana ‘salasiah’nya, dan sejak itu dia hidup terawang-awang di puncak kuasa.
Dari sudut pandang rakyat Malaysia yang kurang berada, apa yang Najib tahu pasal “hidup ikut kemampuan diri”? Apa kelayakan dia untuk menasihatkan rakyat tentang pilihan hidup berdasarkan kemampuan diri kita? Untuk kebanyakan rakyat, tiada pilihan lain kecuali kemiskinan, kesusahan, penindasan, eksploitasi dan lorong yang sudah pasti ke arah kitaran hidup yang membinasakan.
Kelmarin, saya terpaksa memecah masuk ke sebuah pangsapuri untuk membantu seorang pak cik duda berumur 80-tahun yang tiada anak atau keluarga. Jiran beliau menghubungi saya dalam kegelisahan, lantaran mereka tidak bersua dengan beliau buat beberapa hari. Kami berjumpa dengan pak cik yang masih bernyawa, namun uzur. Kami mengusung beliau ke bawah menerusi tangga menggunakan kerusi roda DIY kerana beliau sudah tidak berupaya berdiri dan bergerak. Beliau telah terperangkap dalam pangsapurinya yang panas kehangatan dan berkuap hampir separuh hari. Syukur, kini beliau dilayan dengan baik dan selamat di hospital.
Akhir dekad ini, beliau tidak berupaya untuk bekerja dan hanya bergantung harap kepada ihsan RM200 oleh badan kebajikan saban bulan. Jika beliau perlu hidup “ikut kemampuan diri”, bak kata Najib, beliau terpaksa menjadi gelandangan dan makan sekali dua sehari dengan hanya air kosong. Sistem telah gagal terhadap beliau.
Apakah pak cik ini akan hidup OK di mata Perdana Menteri?
Seorang mak cik (yang suaminya, seorang penjudi, menghilangkan diri sepuluh tahun dahulu) dirujuk kepada saya untuk bantuan. Selepas bayar hutang bulanan (rumah pusaka mereka digadai oleh mendiang bapanya beberapa tahun lalu), beliau tinggal sekadar RM 1,100 untuk beri makan dan bayar persekolahan tiga anaknya, ibunya yang sakit dan berusia 75 tahun dan menjaga diri sendiri. Siapa sahaja yang masih tidak lupa diri akan tahu ini bukanlah keadaan yang munasabah untuk hidup atau mengasuh tiga orang anak.
Beliau tidak layak untuk bantuan ibu tunggal, yang memang tidak memadai kalau pun beliau dapat. Untuk layak mendapatkannya, beliau perlu cerai sebelah pihak, yang akan mengambil kos yang dia tidak mampu. Beliau juga perlu berpendapatan satu pertiga kurang berbanding sekarang. Beliau bekerja 70 jam seminggu, yang bermaksud beliau tidak boleh mencari pekerjaan alternatif. Beliau tidak mampu untuk bertahan tanpa kerja walaupun seminggu. Sistem telah gagal ke atas beliau dan keluarganya.
Inilah kisah ‘hidup tak segan, mati tak mahu’. Tidak wujud gaya dan taraf hidup yang boleh ‘dipilih’ bak kata nasihat Najib; malah tiada pilihan langsung melainkan kalau ada bantuan luar untuk membantunya. Apakah yang Perdana Menteri ingin maksudkan adalah deriti mak cik ini adalah lantaran kesan pilihan hidupnya sendiri?
Najib bebas dan berhak untuk mempertahankan dasar-dasar dia, bahkan mempromosikannya, tidak kiralah ia telah menggagalkan dirinya dan rakyat Malaysia. Namun, nasihat perasan bagus dia itu menunjukkan betapa jahilnya dia terhadap derita rakyat kebanyakan. Menyuruh rakyat untuk membuat pilihan hidup yang ‘lebih baik’ dalam keadaan ramai yang tidak ada pilihan hidup atau kemewahan, itu benar-benar satu penghinaan.
Rakyat tidak perlu nasihat kewangan daripada seorang yang tidak layak macam Najib demi bertahan dengan kegagalan demi kegagalan kerajaan pemerintahannya. Kita hanya perlukan dia untuk lakukan kerja dia, yang telah dia buktikan bahawa dia tidak layak dan tidak mampu lakukan.
Uniknya, ada segolongan manusia yang Najib benar-benar layak dan mampu nasihati untuk capai kejayaan bertaraf dunia; iaitu pencuri, perompak, penyangak dan penyamun.