Sambil kita menyaksikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi melambai-lambaikan telefon pintarnya konon mendakwa memiliki salinan kad pengenalan asal Tun Dr Mahathir dan mendakwa “Patutlah dia kata kita mudah lupa. Sebab dia anak laki-laki Iskandar Kutty,” kita telah dilupakan tentang skandal 1MDB untuk sementara waktu.
24 April lalu, Kerajaan Malaysia mencapai persetujuan dengan International Petroleum Investment Co (IPIC) untuk menyelesaikan keterhutangan berjumlah USD1.2 bilion ekoran skandal 1MDB.
Tarikh luput pembayaran separuh daripada jumlah tersebut (RM2.58 bilion) adalah tengah hari tadi. Kerajaan Malaysia dilaporkan telah gagal mematuhi tarikh luput tersebut dan gagal membayar (http://www.theedgemarkets.com/article/1mdb-misses-deadline-us603m-ipic-payment-%E2%80%94-sources).
Sementara Zahid Hamidi memulakan tarinya menyerang peribadi Tun Mahathir, kita telah terlupa tentang status pembayaran tersebut serta persoalan-persoalan lain yang berkaitan. Terutamanya, dari manakah Kerajaan Malaysia mendapatkan dana untuk membayar jumlah terbabit?
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang juga Menteri Kewangan mengumumkan satu lagi skim membeli sokongan dengan menabur wang kepada veteran angkatan tentera yang dipanggil ‘Bantuan Bakti Negara’. ‘Skim’ ini menawarkan beberapa gula-gula kepada pesara tentera, termasuklah bantuan kewangan dan tambahan kuota jemaah haji. Ini selepas mengumumkan ‘skim’ untuk peneroka Felda dalam pakej berjumlah lebih RM400 juta. Juga tidak lain merupakan gula-gula pilihanraya, tidak kiralah bagaimana pun mereka menafikannya.
Selepas menabur gula-gula ini semua demi memastikan kemenangan UMNO pada pilihanraya yang bakal tiba beberapa bulan lagi, Kerajaan Malaysia telah mengingkari persetujuan di timbangtara antarabangsa bagi menyelesaikan keterhutangan dengan IPIC angkara skandal 1MDB. Kerajaan sepatutnya membayar sejumlah USD602.75 juta hari ni, disusuli bayaran berjumlah USD602.725 juta menjelang akhir tahun ini.
Persoalannya: Dari mana lagi Kerajaan UMNO akan mendapatkan wang untuk melunaskan bayaran tersebut, dalam keadaan ia tidak mampu membayar hutang namun gigih menabur gula-gula pilihanraya?
Dari hasil kutipan GST yang dikikis dari kita semua? Di saat Zahid Hamidi bersilat di depan kita, ternyata Najib Razak pula gigih berkuntau di belakang, dan menikam kita semua. Najib perlu jawab segera kegagalan Kementerian Kewangan untuk menepati tarikh luput bayaran terhadap IPIC, apatah lagi dalam keadaan Dewan Rakyat sedang bersidang.
Kalau itu pun beliau tidak boleh buat, biarlah sang panglima Bugis berundur, dan benarkan panglima Jawa mengambil alih.