Skip to content

Najib tidak boleh melarikan diri apabila negara sedang berhadapan bencana

18 nyawa dilaporkan telah terkorban setakat waktu kenyataan ini ditulis. Ini tidak termasuk mereka yang cedera dan mengalami kerugian harta benda, ekoran gempa bumi yang berlaku di Sabah. Malah ketika kenyataan ini ditulis pun Sabah masih lagi merekodkan gegaran susulan yang telah memaksa Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden PAS Haji Abdul Hadi Awang mengosongkan sebuah bangunan di Kinabalu Park, Kundasang.

Timbalan Ketua Menteri Sabah Joseph Pairin Kitingan telah menyalahkan pelancong yang berbogel di puncak Kinabalu; malah ada ramai juga di media sosial yang menyalahkan kunjungan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razaj ke Sabah baru-baru ini sebagai punca gempa bumi. Namun apa yang sepatutnya dilakukan oleh pihak berkuasa negeri dan persekutuan ialah mendapatkan pendapat pakar tentang sama ada masih terdapat risiko berlakunya gempa pada masa akan datang di Sabah atau di mana-mana tempat di Malaysia demi mengelakkan kemalangan jiwa dan kerugian harta benda.

Perdana Menteri pula nampaknya lebih berkenan untuk meneruskan ziarahnya ke Arab Saudi dengan jet barunya, selepas kejadian gempa bumi di Sabah. Saya ingin bertanya kepada Perdana Menteri apa sebab beliau tidak berada di Sabah? Apakah urusan yang begitu penting di luar negara berbanding hadir menyantuni keluarga mereka yang terkorban akibat gempa?

Najib pastinya kini sudah tahu bahawa beliau bukan sahaja tidak boleh melarikan diri (nothing to hide) dari sebarang dialog, tetapi juga tidak boleh melarikan diri (nowhere to hide) dalam keadaan negara sedang berhadapan bencana.