Saya ingin mengecam kenyataan Perdana Menteri Dato’ Sri Najib Razak dalam ucapan dasar presiden pada Perhimpunan Agung Umno semalam. Beliau telah berkata:
“Realiti politik di Malaysia hari ini, rakyat mempunyai cuma dua pilihan sahaja, sama ada gabungan yang dipimpin oleh Umno ataupun yang dipimpin atau didominasi oleh DAP….Maksud saya, seandai dan sekiranya Umno ditolak, negara ini akan diperintah oleh mereka yang anti perjuangan Islam serta menolak perjuangan Melayu serta Bumiputera.”
Najib juga menambah bahawa masa depan anak-anak bangsa bakal diperjudi apabila DAP memerintah negara. Nampaknya, dalam Perhimpunan Agung yang paling kucar-kacir dan caca-merba dalam sejarah ini, Najib gagal menguruskan persepsi dan keyakinan rakyat Malaysia serta ahli partinya sendiri, sehingga terpaksa mengalihkan perhatian yang kini tertumpu ke atas dirinya dengan mengulangi fitnah dan tohmahan yang langsung tidak berasas.
Pertamanya, kenyataan Najib tidak mengandungi setitis logik. Adalah mustahil untuk orang Melayu hilang kuasa di negara ini. Bukan sahaja hampir kesemua institusi awam seperti perkhidmatan awam, polis, tentera dan badan kehakiman dikuasai oleh orang Melayu, malah dari segi ekonomi pun, kebanyakan sektor juga dikawal jika tidak dimonopoli oleh ahli peniaga Melayu dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan yang diterajui orang Melayu. Dari segi politik dan perundangan pula, kedudukan orang Melayu tidak mungkin dicabar, kerana apa-apa pindaan yang berdampak ke atas hak Melayu memerlukan bukan sahaja majoriti dua pertiga di Parlimen tetapi juga persetujuan Majlis Raja-raja Melayu.
Keduanya, DAP sendiri bukan parti perkauman seperti Umno. DAP adalah parti berbilang kaum dan kini mempunyai perwakilan Melayu di setiap peringkat perundangan di negara ini – Dewan Rakyat, Dewan Negara, Dewan Undangan Negeri dan juga di peringkat kerajaan tempatan.
DAP juga tidak pernah anti-Islam, sepertimana yang dibuktikan oleh keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapati tuduhan anti-Melayu dan anti-Islam oleh Utusan Malaysia merupakan fitnah semata-mata.
Pun begitu, fitnah Najib ini mudah disangkal berdasarkan rekod prestasi Kerajaan Pakatan Harapan di Pulau Pinang. Bukan sahaja peruntukan agama Islam dilipat gandakan berbanding zaman Kerajaan Barisan Nasional, malah peruntukan tahunan kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR) telah dimulakan buat kali pertama. Di samping itu, bayaran tahunan juga diberi kepada para huffaz serta guru-guru KAFA dan SAR. Tambahan lagi, Kerajaan Negeri juga telah membelanjakan RM20 juta untuk mengambil alih tanah milik bukan Muslim untuk dijadikan tanah perkuburan Islam. Jelas, agama Islam bukan sahaja dihormati tetapi juga diperkasakan di bawah pentadbiran Pakatan Harapan.
Lebih penting lagi, Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang dipimpin DAP juga memperkenalkan sistem tadbir urus yang cekap, amanah dan telus untuk membasmi rasuah dan mengelak penyelewengan. Hasilnya, rizab negeri meningkat dan penjimatan dapat dikongsi semua melalui program-program kebajikan rakyat yang rata-rata memanfaatkan orang Melayu.
Hakikatnya, adalah Umno yang selama ini mengkhianati orang Melayu dan Islam di negara ini. Siapakah yang bertanggungjawab bagi skandal Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), di mana dana hasil sumbangan orang ramai didakwa digunakan bagi membiayai seorang pemimpin Wanita Umno dan keluarganya? Bagaimana pula dengan dakwaan penggunaan duit Yayasan Tabung Haji untuk menyelamatkan 1MDB? Tidak dilupakan juga skandal Mara yang membabitkan pembelian hartanah bernilai ratusan juta ringgit di negara-negara asing pada harga yang dikatakan terlalu tinggi.
Najib sepatutnya tidak berdalih lagi dan jangan terus menerus cuba mengalihkan perhatian rakyat daripada kegagalan pentadbiran beliau dengan menggunakan fitnah lapuk yang tidak berasas. Jika beliau begitu berani, sila jawab dengan lurus dan jelas: mana RM2.6 bilion?