Muhammad Muhammad Taib ditahan di lapangan terbang Brisbane pada Disember 1996 kerana membawa bersamanya matawang Singapura, New Zealand dan Ringgit Malaysia bernilai US$1 juta, berdasarkan kadar tukaran ketika itu. Meski beliau dibebaskan pihak berkuasa Australia, Tun Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri waktu itu telah berkata bahawa beliau tidak tahu dari mana Muhammad Taib mendapatkan wang tersebut.
Pada waktu itu juga, Muhammad Taib turut disiasat oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) yang kini dikenali sebagai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkenaan beg berisi wang itu. Beliau bagaimana pun tidak pernah didakwa oleh BPR dan SPRM.
Sementara pentadbiran Datuk Seri Najib Razak sedang gigih menubuhkan RCI untuk mencari kebenaran tentang skandal forex Bank Negara 30 tahun lalu, Najib wajar menubuhkan sebuah “RCI mini” untuk menyelongkar beg Muhammad Taib berisi US$1 juta yang hanya baru berlaku pada tahun 1996.
Ruang lingkup “RCI mini” ini wajar menyiasat sumber dana itu, tujuannya serta sama ada cukai yang dibayarnya kepada LHDN pada tahun 90’an berkadaran dengan wang yang diangkut ke Brisbane. Juga kenapa BPR menghentikan siasatan serta kemahirannya berbahasa Inggeris pada tahun 1996, kerana beliau mendakwa tidak faham bahasa Inggeris justeru tidak faham undang-undang Australia.
Seorang katak politik yang melompat dari satu parti ke parti yang lain, Muhammad Taib menunjukkan yang dia tidak setia kepada mana-mana perjuangan, bahkan sebenarnya mencari alat untuk dipergunakan demi kepentingan diri sendiri.
Melihat bagaimana pemimpin UMNO menyambutnya bagai sirih pulang ke gagang menunjukkan bagaimana orang seperti ini memang selayaknya duduk bersama. Benar bukan, hanya pencuri yang mengenal penyamun?