Jika benar-benar mahu diukur siapa di Malaysia ini yang paling banyak menyakitkan hati rakyat Malaysia – sudah pasti Najib Razaklah orangnya. Bahkan menurut penganalisa politik, populariti beliau jatuh merudum, bahkan mungkin setanding dengan jutawan kapitalis paling tidak digemari ramai, Dato’ Alif Syukri.
Kalau diikutkan hati rakyat, mahu sahaja kita menghumban kleptokrat Najib Razak ke penjara kerana bukan sahaja asyik mencalar hati rakyat, malah tidak segan silu menyembunyikan tuduhan perompak dan pencuri ke atas beliau.
Skandal demi skandal, rejim Barisan Nasional pimpinan Najib Razak terus meneruskan memalukan rakyat Malaysia. Lebih ajaib dan menyakitkan hati rakyat lagi, penternak lembu ghaib paling berjaya di dunia, Sharizat Abd Jalil pula dihadiahkan gelaran Tan Sri.
Ketika mereka bersenang-lenang di istana Sri Perdana, penggiat seni di jalanan pula yang dihukum. Minggu ini, Mahkamah Tinggi Ipoh menjatuhkan hukuman penjara 1 bulan dan denda RM 30,000 ke atas Fahmi Reza, seorang penggiat seni disanjungi ramai termasuk saya.
Walaupun ideologi politik serta landasan perjuangan saya dan Fahmi Reza berbeza, masa dua hari dan dua malam saya bersama dengan beliau di bawah tahanan PDRM pada Himpunan Bersih 5 yang lalu meyakinkan saya bahawa beliau seorang yang hanya mahu menentang penguasa yang zalim dan membadutkan negara.
Justeru, saya ingin menyatakan solidariti terhadap teman se-lokap saya, saudara Fahmi Reza yang telah dihukum oleh undang-undang yang tidak masuk akal. Kami juga menyeru supaya Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 disemak semula kerana ia membuka ruang kepada pendakwaan terpilih.
Soalan asas yang tertimbul: sekiranya hati seorang perompak disakiti kerana digelar perompak oleh rakyat, mengapa perompak tersebut dibiar bebas manakala rakyat yang melawan pula dihukum? Sejak bila menyakitkan hati menteri atau pm menjadi jenayah? Apakah mereka kini setaraf dengan raja?