Sebagaimana Tunku Abdul Rahman melaungkan kata Merdeka 7 kali pada 56 tahun yang lalu, marilah kita memperbaharui ikatan bersama akan kebebasan, keadilan, kebenaran, demokrasi dan maruah kemanusiaan. Nilai-nilai dan prinsip-prinsip yang telah membantu kita mencapai Merdeka juga akan menjadikan Malaysia sebuah negara yang luar biasa.
Malaysia tidak mungkin berasa sangat luar biasa apabila kini seolah-olah lebih bergaya untuk menjadi seorang pelampau dan bersikap perkauman, untuk menyebarkan pembohongan daripada meraikan kebenaran dan menutup mata kita dengan rasuah dan ketidakadilan. Walau bagaimanapun hari itu akan tiba apabila adalah sangat tidak berjiwa Malaysia untuk menjadi seorang yang bersifat perkauman, pembohong dan perasuah. Rakyat Malaysia akan membongkar pembohongan seperti yang terkandung dalam filem tajaan kerajaan Persekutuan, Tanda Putera, yang menuai kebencian kaum dan memecah-belahkan, dan bukannya keharmonian dan perdamaian.
Marilah kita memberi tumpuan kepada apa yang menjadikan Malaysia dan Pulau Pinang hebat dan luar biasa – keadaan yang selamat, bersih, hijau dan sihat. Ini akan diberi perhatian sepenuhnya oleh kerajaan negeri Pulau Pinang bermula dengan mengekalkan status Pulau Pinang sebagai negeri yang paling selamat di Malaysia.
Walaupun indeks jenayah meningkat kepada hampir 10% dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini, peningkatan indeks jenayah telah menurun kepada 4.4% pada akhir Ogos 2013. Ini menunjukkan kejayaan usaha polis, bersama-sama dengan kerjasama kerajaan negeri dan orang awam untuk membanteras jenayah. Usaha ini bukan sahaja akan berterusan tetapi telah digandakan.
Menjadikan Pulau Pinang lebih bersih, hijau dan sihat adalah aspirasi rakyat Pulau Pinang apabila mereka memilih semula Pakatan Rakyat sebagai Kerajaan Negeri Pulau Pinang dengan 68% undi popular dalam pilihan raya umum 2013, peningkatan sebanyak 10% berbanding undi popular 58% diperolehi dalam pilihan raya umum 2008. Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak akan mengecewakan rakyat tetapi akan memastikan kejayaan dan kemakmuran yang boleh dinikmati oleh semua ini berterusan.