Skip to content

Nik Amar jangan ibarat meludah ke langit, jatuh ke muka sendiri

Saya merujuk kenyataan Nik Amar https://m.malaysiakini.com/news/654348

Saya berpandangan, konflik berlaku dimana-mana dan konflik akan sentiasa ada. PAS sendiri tidak pernah lekang dari konflik. Nik Amar perlu cermin diri. Bermuhasabahlah. Jangan sampai jadi ibarat “meludah ke langit, jatuh ke muka sendiri”.

Sejak PAS bersama Semangat 46, Gerakan Rakyat (GERAK), Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat pun, konflik sentiasa wujud.

Dalam sejarah terdekat PAS bersama parti-parti gabungan, PAS juga tidak dapat elak konflik khususnya selepas ketiadaan Almarhum Tuan Guru Nik Aziz. Pada waktu itu, konflik PAS ialah samada untuk meneruskan gabungan parti itu dalam Pakatan Rakyat atau berkerjasama dengan UMNO yang disebut-sebut sebagai kelompok pro Unity Government atau UG.

Akibat kepimpinan PAS yang tidak dapat mengurus konflik dengan cermat, parti itu akhirnya terpecah dua lalu lahirlah Parti Amanah Negara. Amanah mengekalkan pendirian mengukuhkan pakatan pembangkang lalu memasuki pilihanraya ke-14 bersama Pakatan Harapan.

Bahkan dalam PRU 15 yang lalu pun, PAS berhadapan konflik apabila terdapat sekurang-kurangnya dua kelompok dalam PAS – kelompok yang mahukan UMNO menerusi Muafakat Nasional dan yang ingin bersama Bersatu dalam Perikatan Nasional.

Konflik tidak perlu dijangka-jangka. Konflik akan tetap berlaku apatah lagi dalam politik. Tambahan pula politik Malaysia hari ini yang semakin rencam.

Persoalannya, bagaimana kita dapat dan akan menguruskan konflik. Disitulah letaknya peranan kepimpinan dan kepemimpinan.

Dan saya cukup yakin, dengan barisan kepimpinan serta kekuatan setiap parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan, segala konflik yang timbul akan dapat diuruskan dengan berhemah serta bijaksana.