Skip to content

Nik Nazmi dan peserta perhimpunan KitaLawan yang ditahan harus dibebaskan segera

Saya ingin menyeru Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengambil keputusan segera membebaskan Ketua Angkatan Muda Keadilan Nik Nazmi Nik Ahmad, Ketua AMK Kelana Jaya Saifullah Zulkifli dan rakyat Malaysia lain yang turut ditahan polis atas alasan menganjur atau mengambil bahagian dalam perhimpunan aman KitaLawan di Kuala Lumpur semalam.

Perhimpunan KitaLawan semalam dihadiri 10,000 rakyat Malaysia dari seluruh lapisan masyarakat Malaysia. Ia berjalan lancar dan berakhir dengan aman dan baik.

Sebagai Setiausaha Kebangsaan Pemuda DAP, saya juga menghadiri perhimpunan semalam. Sepanjang aktiviti kami semalam, campur tangan pihak polis adalah minima. Tiada gas pemedih mata, meriam air, kehadiran pasukan FRU besar-besaran seperti apa yang biasa pihak polis lakukan dalam perhimpunan yang lepas.

Atas cara pengurusan yang sederhana ini, saya memerhatikan perubahan yang positif. Tenaga polis tidak perlu dikerah dari seluruh negara semata-mata untuk menunjuk kuasa. Rakyat Malaysia yang berhimpun cukup berdisiplin dan cintakan keamanan dan ini terbukti semalam.

Perhimpunan awam adalah penting supaya suara rakyat dapat didengar dan ia merupakan saluran ‘feedback’ yang berkesan kepada pihak pentadbir dan kerajaan semasa.

Oleh itu, Perlembagaan Persekutuan Malaysia dan juga undang-undang di negara berdemokrasi yang lain memberi hak kepada rakyat untuk bebas bersuara dan berhimpun secara aman.

Saudara Nik Nazmi dan rakan-rakannya sepatutnya diberi setinggi-tinggi penghargaan kerana berjaya merancang dan mengetuai sebuah perhimpunan yang membabitkan 10,000 orang semalam.

Tetapi sebaliknya, polis mengambil tindakan menahan beliau. Malam ini Nik Nazmi akan bermalam di lokap dan esok mungkin sekali direman. Jelas, ini menindas hak Nik Nazmi dan seterusnya memburukkan lagi imej Polis Diraja Malaysia di bawah pimpinan Khalid Abu Bakar.

Saya ingin mempersoalkan sama ada Kerajaan BN-UMNO telah menyusun agenda khusus untuk mensasarkan pemimpin muda Pakatan Rakyat khasnya Ketua AMK Nik Nazmi Nik Ahmad.

Baru-baru ini, pada 22 Febuari 2015, 830 malam, seramai sepuluh orang anggota polis ‘mengunjung’ ke kediaman Nik Nazmi dan turut menahan beliau di bawah Seksyen 143 Kanun Keseksaan, iaitu berkaitan perhimpunan awam pada hari sebelumnya. Aktivis muda Adam Adli dan Fariz Musa juga ditahan atas alasan yang sama.

Hari ini, beliau ditangkap lagi di bawah Kanun Keseksaan dan Akta Perhimpunan Aman. Rakyat Malaysia mahu tindakan Kerajaan BN-UMNO yang tidak adil dan berniat jahat ini berakhir segera.

Saya menggesa Zahid Hamidi mengarahkan supaya Nik Nazmi dibebaskan segera dan semua siasatan bermotif politik ke atas beliau diberhentikan.

Bukankah ironi terbesar apabila Akta Perhimpunan Aman digunakan untuk menangkap dan menyeksa pemimpin politik yang berjaya menganjur dan menjalankan perhimpunan secara aman?

Tiada rakyat Malaysia yang patut diambil tindakan hanya melaksanakan hak berpolitik yang selaras dengan Perlembagaan Malaysia.