Kerajaan Negeri Pulau Pinang dimaklumkan bahawa kontraktor sivil utama 1 (CMC1) bagi projek transit aliran ringan (LRT) Laluan Mutiara, SRS Consortium Sdn. Bhd. (SRS) telah diberikan notis untuk memulakan kerja pembinaan daripada pemaju projek, MRT Corporation (MRTC) pada 15 Julai 2025.
Bagi pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang, saya mengucapkan terima kasih di atas notis rasmi yang diberikan, dan dengan ini, proses pembinaan akan bermula sebagaimana dirancang, antaranya, pemindahan utiliti, pelebaran jalan, kerja-kerja cerucuk tanah dan penyediaan tapak bina (site establishment) di semua lokasi sepanjang jajaran Laluan Mutiara yang telah memperoleh kelulusan daripada pihak berkuasa berkaitan.
Seterusnya, Kerajaan Negeri menunggu keputusan tender bagi pelantikan kontraktor turnkey bagi pakej CMC 2 (jajaran ke Penang Sentral dari Macallum) dan pakej sistem rel bagi Laluan Mutiara.
Umumnya, pada tahun ini, kita telah menyaksikan beberapa perkembangan penting projek LRT Laluan Mutiara iaitu Majlis Pecah Tanah Projek di tapak stesen Bandar Sri Pinang; pelantikan SRS sebagai kontraktor turnkey bagi pakej CMC1 pada Januari, dan terkini adalah pengeluaran notis mula kerja (NTP) kepada pihak SRS.
Dalam tempoh terdekat, platform komunikasi strategik dan talian maklum balas melibatkan semua projek mega yang sedang dan akan berjalan di negeri ini bakal diumumkan bagi membolehkan umum memperoleh maklumat serta interaksi lanjut.
Kerajaan Negeri dalam pada itu menyeru semua pihak terutamanya seluruh rakyat Pulau Pinang untuk memberikan kerjasama sepenuhnya sepanjang pelaksanaan projek yang dijangka selesai pada tahun 2031 demi masa depan Pulau Pinang.
Sekian, terima kasih.