Skip to content

Orang-orang Melayu di Negeri Sembilan tahu yang DAP bukanlah anti-Melayu, anti-Islam, anti-Raja, pencetus rusuhan 13 Mei 1969 di Kuala Lumpur, atau komunis, dan kerana inilah semua 11 calon DAP di Negeri Sembilan menang dengan sokongan tinggi orang Melayu

Hari ini adalah ulang tahun pertama pemergian Dr. Chen Man Hin, seorang tokoh Malaysia yang patut dicontohi, yang berani untuk mengimpikan Impian Malaysia dan melihat dirinya pertamanya sebagai seorang rakyat Malaysia walaupun beretnik dan mewarisi budaya Cina.

Saya percaya yang penghormatan terbesar terhadap Impian Malaysia Dr. Chen adalah apabila semua 11 calon DAP dalam pilihan raya Dewan Undangan Negeri di Negeri Sembilan berjaya menang dengan sokongan tinggi dari kalangan orang Melayu.

Orang-orang Melayu di Negeri Sembilan tahu yang DAP bukanlah anti-Melayu, anti-Islam, anti-Raja, pencetus rusuhan 13 Mei 1969 di Kuala Lumpur, atau komunis, kerana Dr. Chen sentiasa membantu golongan susah dan yang memerlukan yang datang ke kliniknya, tanpa mengira kaum, agama, atau kelas – orang Melayu, Cina, atau India yang susah di Negeri Sembilan.

Kita, yang masih hidup ini, perlulah berpegang dengan Impian Malaysia Dr. Chen, kerana keadilan, kebebasan, kesaksamaan, dan kemajuan milik semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, atau kawasan perlu menjadi impian kita semua, tanpa mengira kaum, agama, atau kawasan.

Kita tidak mahu adanya Impian Melayu, Impian Cina, Impian India, Impian Kadazan, atau Impian Dayak. Kita mahukan Impian Malaysia untuk semua rakyat Malaysia.

Rakyat Malaysia baru sahaja melalui pilihan raya negeri dan mesej yang diberikan adalah mesej yang bercampur. Namun apa yang penting adalah harapan untuk Malaysia dapat bangkit semula menjadi sebuah negara hebat dunia dan mengelakkan nasib sebagai sebuah negara yang berpecah belah, gagal, dan kleptokratik ini masih belum hilang. Sebaliknya, Malaysia masih boleh diperbetulkan untuk kembali kepada prinsip asal pembinaan negara yang diterapkan oleh tokoh-tokoh kemerdekaan negara (termasuklah oleh tiga Perdana Menteri terawal negara yang juga merupakan Presiden UMNO) ke dalam Perlembagaan dan Rukun Negara untuk Malaysia menjadi sebuah negara majmuk di mana adanya “perpaduan dari kepelbagaian”.

Enam pilihan raya negeri ini menunjukkan yang prinsip-prinsip ini masih belum dihakis sehingga tidak dapat diselamatkan lagi, institusi-institusi negara masih belum dirosakkan hingga tidak boleh diperbaiki, dan masih ada harapan untuk masa hadapan untuk semua rakyat Malaysia.

Saya telah memberitahu seorang mantan hakim ketika di majlis memperingati Dr. Chen Man Hin pada bulan Ogos tahun lepas, yang para hakim kini perlu menyelamatkan Malaysia dengan menegakkan prinsip-prinsip pembinaan negara supaya Malaysia dapat memenuhi takdirnya sebagai sebuah negara hebat dunia, terutamanya yang berkaitan dengan doktrim pemisahan kuasa, badan kehakiman yang bebas, kedaulatan undang-undang, dan tadbir urus baik seperti perang terhadap gejala rasuah.

Saya telah katakan yang tidak ada keperluan untuk panik kerana ada perkara baik yang tersembunyi di sebalik awan hitam dalam enam pilihan raya negeri ini.

Kerajaan Pakatan Harapan selama 22 bulan sebelum ini adalah langkah pertama dalam perjalanan yang panjang untuk menjadikan Malaysia sebuah negara hebat dunia, Pilihan Raya Umum ke-15 pada November lepas dan enam pilihan raya negeri pada 12 Ogos ini adalah langkah kedua dan ketiga dalam perjalanan panjang untuk Malaysia bangkit menjadi sebuah negara hebat dunia dan mengelakkan nasib dari menjadi sebuah negara yang berpecah belah, gagal, dan korup seperti Sri Lanka.

Banyak perkara yang bergantung kepada apa yang dapat dilakukan dalam empat tahun yang akan datang sebelum Pilihan Raya Umum ke-16 pada tahun 2027 untuk menentukan takdir akhir Malaysia.

Dr. Chen tentunya mahu melihat Malaysia bangkit semula sebagai sebuah negara hebat dunia dan bukannya menjadi sebuah negara yang berpecah belah, gagal, dan korup ketika kita menyambut ulang tahun ke-100 negara pada tahun 2057.

Dia mahu semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, atau kawasan, untuk mengimpikan Impian Malaysia.