Skip to content

PAC meneruskan prosiding perolehan vaksin Covid-19 dan penggunaannya terhadap rakyat Malaysia

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan menyambung semula prosiding berhubung Perolehan Vaksin Covid-19 dan Penggunaannya Terhadap Rakyat Malaysia pada 27 Julai 2021, dengan memanggil semula Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Khairy Jamaluddin.

Pada 28 Julai 2021 pula, PAC akan memanggil Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada sebelah pagi dan selepas itu akan mendengar penjelasan daripada Akauntan Negara, Datuk Dr Yacob bin Mustafa berhubung prosiding yang sama pada sebelah petang.

PAC sebelum ini, pada 5 Januari 2021, memulakan prosiding berhubung Perolehan Vaksin Covid-19 dan Penggunaannya Terhadap Rakyat Malaysia Jawatankuasa ini, dengan mendengar penjelasan daripada YB Khairy dan Datuk Seri Dr Adham Baba, Menteri Kesihatan.

Prosiding berhubung isu ini, menggunakan punca kuasa daripada PM77(1)(d) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat yang membenarkan Jawatankuasa ini, memeriksa apa-apa perkara lain yang difikirkan oleh Jawatankuasa ini patut diperiksa.

Mengambil kira perkembangan terbaru mengenai perolehan vaksin Covid-19 sepanjang tempoh darurat berkuat kuasa selama enam bulan, PAC berpendapat Kerajaan perlu memberikan penjelasan lebih terperinci kepada Jawatankuasa ini memandangkan senarionya sudah berubah berbanding Januari lalu.

PAC komited untuk menyiapkan laporan mengenai isu ini dan membentangkan laporan ke Parlimen selewat-lewatnya dalam Mesyuarat Kedua Penggal Keempat sidang Dewan Rakyat bermula Oktober hingga Disember depan.