Skip to content

PAC Parlimen berpuas hati dengan keterangan dan penjelasan dalam isu perolehan dan penggunaan Vaksin Covid19

PAC hari ini, mengadakan prosiding Perolehan Vaksin Covid19 dan Penggunaannya Terhadap Rakyat Malaysia yang membabitkan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta Kementerian Kesihatan (KKM).

Kedua-dua menteri YB Khairy Jamaluddin, Menteri MOSTI dan YB Datuk Seri Dr Adham Baba, Menteri Kesihatan hadir di hadapan PAC Parlimen bagi memberikan keterangan dan penjelasan.

Saya mengucapkan terima kasih atas kehadiran dan komitmen kedua-dua menteri berkenaan selain kehadiran Dato’ Seri Dr Chen Chaw Min, Ketua Setiausaha (KSU) KKM; Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, Ketua Pengarah Kesihatan dan Datuk Ir Dr Siti Hamisah Tapsir, KSU MOSTI.

Secara keseluruhannya, PAC Parlimen berpuas hati dengan keterangan dan penjelasan yang diberikan oleh YB Khairy Jamaluddin, YB Datuk Seri Dr Adham Baba dan Tan Sri Noor Hisham Abdullah dalam isu perolehan dan penggunaan Vaksin Covid19.

Prosiding ini adalah selari dengan hasrat PAC dalam memastikan perbelanjaan Kerajaan benar-benar telus demi manfaat rakyat secara keseluruhannya.

Pada masa sama, PAC juga mengambil maklum mengenai terdapatnya Non Disclosure Agreeement (NDA) antara Kerajaan dengan syarikat pengeluar vaksin Covid 19. Secara amnya, NDA tidak sewajarnya mengekang tugas dan peranan PAC.

Walau bagaimanapun, dalam perkara ini, PAC akan mengimbangi antara peranan PAC dalam melaksanakan penelitian legislatif (legislative scrutiny) dengan peruntukan NDA dalam perjanjian komersial yang sedia ada, untuk memastikan tidak berlakunya sebarang pelanggaran perjanjian.

PAC menegaskan tidak akan berkompromi dengan prinsip ketelusan dalam menjalankan tugasan, dan pada masa sama akan menjaga kepentingan negara sementara menghormati perjanjian yang telah dimeterai.

PAC Parlimen untuk kali pertamanya akan mengadakan mesyuarat khas (exit conference) bersama MOSTI dan KKM sebelum laporan PAC dibentangkan di Dewan Rakyat dalam memastikan segala syarat perjanjian berkenaan dipatuhi.

PAC Parlimen komited untuk membantu memberikan keyakinan kepada rakyat dalam mendapatkan vaksinasi Covid 19 supaya penularan wabak ini dapat dihentikan.