Skip to content

PAC Parlimen Ke-15 boleh membuat keputusan sama ada hendak mengadakan prosiding bagi siasatan lanjut isu perolehan Vaksin Covid-19

Saya telah diminta untuk mengulas kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan pada hari semalam berkenaan dengan Kertas Putih KKM Perolehan Vaksin Covid-19.

Adalah tidak asing bagi mana-mana pihak termasuk Kerajaan, agensi-agensi audit atau agensi-agensi penguatkuasa melaksanakan siasatan lanjut terhadap mana-mana isu yang telah dibentangkan Laporan PAC ke Parlimen. Tindakan-tindakan susulan sebegitu adalah penting dalam mengukuhkan kedudukan PAC sebagai satu institusi semak imbang yang penting.

PAC Parlimen Ke-14 telah menjalankan prosiding berkenaan dengan isu Perolehan Vaksin Covid-19 dan Penggunaannya Terhadap Rakyat Malaysia dan telah membentangkan Laporan PAC pada 1 Disember 2021 dan Laporan PAC berkenaan Tindakan Susulan pada 24 Mac 2022.

PAC Parlimen Ke-15 yang bakal ditubuhkan oleh Parlimen, sekiranya perlu, boleh membuat keputusan sama ada hendak mengadakan prosiding bagi siasatan lanjut isu perolehan Vaksin Covid-19 dengan berpaksikan penemuan Kertas Putih yang bakal dibentangkan di Parlimen.