Skip to content

PAC terima laporan JKTSPUKK perolehan kapal Littoral Combatant Ship (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia yang dinyahklasifikasi (declassified)

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen menerima Laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) berhubung Perolehan Enam Buah Second Generation Patrol Vessel (SGPV), Berkeupayaan Littoral Combatant Ship (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia, yang dinyahklasifikasikan (declassified) oleh Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Ia sejajar dengan keputusan Kabinet pada 10 Ogos 2022 yang mengarahkan JPM untuk menyahklasifikasikan laporan berkenaan selaras dengan syor PAC dalam laporannya mengenai Perolehan LCS yang dibentangkan di Parlimen pada 4 Ogos 2022.

Ada beberapa fakta dalam laporan berkenaan yang dipadamkan oleh JPM, namun pada keseluruhannya ia tidak menjejas fakta keseluruhan dan rumusan Laporan PAC.

Walau bagaimanapun, PAC tetap berpendirian bahawa pemadaman maklumat-maklumat tersebut adalah tidak perlu kerana maklumat-maklumat berkenaan dengan Pengarah dan Pemegang Saham Boustead Holdings Bhd., Boustead Naval Shipyard dan Perstim Industries Sdn Bhd yang dipadamkan sememangnya merupakan maklumat terbuka dan boleh didapati dengan suatu carian SSM.

Pada masa sama, PAC masih menunggu laporan pengauditan forensik yang dibuat syarikat Boustead Naval Shipyard (BNS) untuk dinyahklasifikasikan selaras dengan keputusan Kabinet.

Orang ramai yang ingin membaca atau memuat turun laporan berkenaan boleh melayari laman web PAC beralamat https://www.parlimen.gov.my/pac/review/docs-257-317.pdf.