Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen pada malam ini telah menerima Laporan Pengauditan Forensik Berkaitan Review Of The LCS Programme yang dinyahklasifikasikan (declassified).
Laporan Pengauditan Forensik tersebut telah dimuatnaik ke laman web PAC dan orang ramai yang ingin membaca atau memuat turun laporan berkenaan boleh melayari laman web PAC beralamat https://www.parlimen.gov.my/pac/review/docs-257-319.pdf.
Laporan Pengauditan Forensik tersebut adalah berdasarkan mandat pengauditan dari Tahun Kewangan 2011-2014. Walaupun kebanyakan Letter of Awards (LOAs) adalah dikeluarkan oleh BNS dalam tempoh tersebut, namun pelaksaannya adalah sekurang-kurangnya sehingga tahun 2018. Laporan mendapati selagi kesemua transaksi dan aktiviti berkenaan dengan pelaksaannya sehingga tahun 2018 belum disiasat dengan mendalam, berkemungkinan fakta-fakta penting untuk pembuktian kelakuan jenayah akan ditinggalkan.
Maka, PAC dengan ini meminta supaya Kabinet membuat ketetapan-ketetapan berikut pada Mesyuarat Kabinet yang akan datang:-
- Mengarahkan supaya Pengauditan Forensik lanjut dilaksanakan oleh BHIC ke atas Project LCS bagi melengkapi segala transaksi dan aktiviti berkenaan dengan pelaksanaan projek dan LOAs dari tahun 2015 sehingga kini; dan
- Memandangkan timbulnya isu penggunaan wang peruntukkan LCS untuk pembayaran hutang lapuk NGPV oleh BNS, Laporan JKSTUPKK Berkenaan dengan Enam (6) Buah Patrol Vessel (NGPV), Integrated Logistics Support Dan Commercial Package Programme Oleh TLDM juga harus dinyahklasifikasikan.
(Latar Belakang Kontrak NGPV: Terdapat Kontrak Tambahan Projek NGPV ditandatangani dengan BNS dengan peruntukkan tambahan sejumlah RM1.40 bilion yang menjadikan jumlah kos kontrak meningkat daripada RM5.35 bilion kepada RM6.75 bilion dengan skop kerja dan bilangan Patrol Vesssel (PV) dikekalkan. PV ke-6 telah diserahkan kepada TLDM pada tahun 2010. Projek ini diikuti dengan Projek LCS pada tahun 2011 yang mana kontrak juga diberikan kepada BNS.)