Skip to content

Pahang dan Negeri Sembilan telah diangkat untuk menjadi negeri berpendapatan sederhana selepas Kemerdekaan pada tahun 1957 manakala Kelantan kekal sebagai negeri berpendapatan rendah

Saya bersetuju dengan Exco Negeri Pahang, Fadzli Mohamad Kamal yang mengatakan bahawa Pahang dan Kelantan berada dalam liga yang berbeza dari segi pembangunan dan tidak boleh dibandingkan pada tahap yang sama.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Mohd Amar Abdullah, telah mengatakan bahawa tidak adil untuk membandingkan pembangunan di Kelantan dengan Selangor dan Pulau Pinang kerana Kelantan sepatutnya dibandingkan dari segi pembangunan dengan Negeri Sembilan atau pun Pahang.

Mohd Amar tersilap sama sekali.

Negeri Sembilan dan Pahang berada bersama-sama Kelantan dalam kategori negeri-negeri berpendapatan rendah ketika negara kita mencapai Kemerdekaan pada tahun 1957, tetapi dalam enam dekad yang lepas, Negeri Sembilan dan Pahang telah bergerak ke hadapan untuk menjadi negeri berpendapatan sederhana sedangkan Kelantan terus tersekat dalam kategori negeri termiskin dan paling kurang membangun.

Siapakah yang perlu bertanggungjawab untuk perkara ini?

Kerana inilah saya telah katakan bahawa para pengundi di enam negeri yang bakal berhadapan dengan pilihan raya pada 12 Ogos ini perlu memikirkan mengenai masa hadapan dan kebajikan anak-anak serta cucu-cucu mereka, sama ada mereka mahu Pulau Pinang, Selangor, dan Negeri Sembilan untuk merosot menjadi seperti Kelantan, Terengganu, dan Kedah atau sama ada mereka mahu Kelantan, Terengganu, dan Kedah yang menjadi maju dan makmur seperti Pulau Pinang, Selangor, dan Negeri Sembilan.

Kelantan, Terengganu, dan Kedah tidak akan bertukar semalaman dengan satu pilihan raya umum untuk menjadi maju seperti Pulau Pinang, Selangor, atau Negeri Sembilan, tetapi, satu permulaan perlulah dibuat pada 12 Ogos 2023.

Saya bersetuju dengan Fadzli yang Mohd Amar salah untuk membandingkan Kelantan dengan Pahang atau Negeri Sembilan kerana mereka tidak berada di dalam kategori yang sama.