Semua warganegara Malaysia yang waras akan bersetuju bahawa Jalur Gemilang adalah lambang kedaulatan Malaysia, terutamanya bagi kesemua ahli politik, tidak kiranya berparti politik mana-mana pun.
Tidak ada sesiapa yang menyoal tentang ini sesekalipun.
Peliknya apabila ahli-ahli politik tersebut yang kininya cuba berlagak sebagai jaguh kampung dalam isu bendera terbalik tidak pernah pun mendesak sebegini apabila Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) silap dalam memaparkan Jalur Gemilang, apatah lagi apabila insiden sedemikian berlaku ketika berlangsungnya Himpunan TMT di dalam negeri Terengganu.
Kesemua jaguh tersebut tidak pula mempertikaikan tahap patriotisme penganjur Himpunan TMT atau pegawai KPM dalam pada itu.
Namun sekarang pula berhempas pulas menyerang sekolah tersebut yang memang sudah membuat permohonan maaf secara terbuka seperti mana apa yang KPM & penganjur Himpunan TMT membuat sebelum ini.
Sebagai ahli politik, jangan berhipokrit dan mempunyai piawaian yang berlainan dalam isu yang sama. Berlagak sebagai jaguh kampung tidak akan memenangkan parti dan membanyakkan undi, sebaliknya hanya semakin menonjolkan kebebalan.
Mempolitikkan isu bendera terbalik tidak akan membawa Malaysia ke hadapan, sama-sama pastikanlah yang membuat kesilapan menerima teguran dan tidak mengulangi kesilapan yang sama demi membina jambatan perpaduan, bukannya jerit sini sana.