Skip to content

Pakatan beriktikad tawan semula Perak

Pakatan Harapan akan berusaha sedaya upaya untuk menawan semula Negeri Perak. Walaupun kerajaan Pakatan Rakyat tumbang akibat rampasan kuasa pada tahun 2009, peluang masih cerah untuk Pakatan yang baru untuk memenangi negeri itu dalam PRU14.

Rakyat Perak masih tidak lupa bagaimana Barisan Nasional merampas kuasa kerajaan secara zalim. Mandat yang diberikan oleh rakyat tidak dipedulikan kerana kerakusan untuk merampas kuasa. Rakyat Perak telah kecewa dengan sikap pemimpin Barisan Nasional yang gila kuasa.

Walaupun Pakatan Rakyat kalah di Perak pada PRU13, tetapi undi popular masih berpihak kepada Pakatan . Barisan Nasional tidak mendapat sokongan majoriti rakyat Perak. Lebih kurang 54% rakyat Negeri Perak telah menolak Barisan Nasional dalam pilihanraya umum yang lalu. Ini bermakna kerajaan Perak yang ada hari ini bukanlah pilihan rakyat Perak. Kerajaan Barisan Nasional di Perak hari ini adalah hasil daripada penipuan dan ‘gerrymandering ‘ yang tidak adil. Kemenangan Barisan Nasional di Perak dalam PRU13 adalah tidak adil akibat manipulasi sempadan kawasan pilihanraya.

Tetapi, dalam PRU14 adalah amat berbeza sekali. Persempadanan semula tidak semestinya akan memberi kemenangan kepada Barisan Nasional. Tsunami Melayu boleh menyebabkan Barisan Nasional kalah di kebanyakkan kawasan yang menjadi kubu kuat UMNO Barisan Nasional. Akibatnya Barisan Nasional akan kalah banyak kerusi-kerusi di kawasan Melayu yang dahulunya dimenangi olehnya. Pakatan Harapan mempunyai peluang untuk menawan banyak kerusi di kawasan majoriti Melayu di Negeri Perak.

Pakatan Harapan bersasar untuk memenangi 40 kerusi DUN Perak dalam PRU14. Ini adalah penting untuk memastikan satu kerajaan baru yang stabil supaya tidak ada gangguan yang melampau daripada anasir-anasir yang jahat seperti apa yang berlaku pada tahun 2009.

Saya yakin rakyat Perak akan memberi peluang sekali lagi kepada Pakatan Harapan untuk memerintah Negeri Perak dalam PRU14. Kerajaan Barisan Nasional Perak hari ini gagal membawa sebarang perubahan dari segi pembangunan dan sosio-ekonomi rakyat Perak berbanding dengan Kerajaan Pulau Pinang dan Kerajaan Selangor. Maka, adalah wajar untuk rakyat Perak membuat perubahan yang lebih besar dalam PRU14 dengan memilih Pakatan Harapan memenangi lebih daripada 40 kerusi DUN.