Seruan Pemuda AMANAH Nasional untuk membina momentum baharu serta meminta parti-parti pembangkang untuk berunding harus disambut oleh semua pihak yang ingin mengembalikan mandat rakyat.
Usul undi percaya terhadap Menteri Besar Perak yang diusulkan oleh UMNO dan ditolak sehingga MB daripada parti BERSATU terpaksa berundur hanya menunjukkan keretakan Perikatan Nasional (PN) menjadi semakin TERUK.
Tidak pernah ada peristiwa di sebuah Dewan Undangan Negeri di mana sesebuah parti mencadang dan menyokong usul kepercayaan kepada seseorang MB, mengundi menentang usul mereka sendiri. Kerajaan Negeri Perak PN yang kononnya dibina atas perpaduan ummah telah gagal mencapai persefahaman atas sikap tamak haloba sesama komponen parti PN. Sikap sebegini hanya akan melemahkan ummah.
Kerajaan Persekutuan PN hanya bermain percaturan politik sejak menjadi kerajaan selepas Langkah Sheraton. Mereka tidak pernah mengambil kisah tentang kebajikan rakyat terutamanya masa kini yang semakin kritikal bagi majoriti rakyat Malaysia.
Di negeri Kedah pula, Kerajaan Negeri PN mula menunjukkan keangkuhan mereka apabila Menteri Besar Kedah dari parti PAS menyindir kaum minoriti dan mengambil ringan akan perasaan penganut agama Hindu atas kes perobohan kuil baru-baru ini.
Isu ini menjadi semakin rumit sehingga rakan parti PAS iaitu parti MIC mula bertikam lidah sesama sendiri. Ini jauh berbeza daripada pentadbiran Menteri Besar Kelantan Allahyarham Dato Nik Aziz Nik Mat yang menghormati kepelbagaian kaum serta agama lain di negeri Kelantan sepanjang pentadbiran beliau.
Atas beberapa isu pentadbiran Kerajaan PN baru-baru ini di peringkat negeri atau Persekutuan hanya menunjukkan bahawa PN hanya berminat untuk memegang kuasa dan tidak mempedulikan isu-isu rakyat. Mereka hanya menggunakan alasan perpaduan ummah untuk kekalkan kuasa.
Oleh yang demikian, majoriti daripada akar umbi dan penyokong Pakatan Harapan menyeru agar blok pembangkang yang diterajui oleh Pengerusi PH dan Ketua Pembangkang Dato Seri Anwar Ibrahim, pemimpin Parti Pejuang Tun Dr Mahathir, Presiden Parti Warisan Dato Seri Shafie Apdal, Parti PSB, MUDA dan UPKO untuk bersama-sama mengambil peluang akan keretakan dan kegagalan pentadbiran kerajaan PN untuk berunding dan berbincang hala tuju pihak pembangkang dengan mencari jalan melawan belanjawan 2021 dan sekaligus mengembalikan mandat rakyat dan menyampaikan belanjawan yang lebih mesra rakyat.
Adalah penting juga untuk blok pembangkang mula berunding untuk jalinkan kerjasama bagi menghadapi PRN negeri Sarawak dan juga PRU ke-15.
Para pemimpin daripada blok pembangkang harus buang perselisihan terhadap sesama sendiri capai persefahaman politik demi kepentingan negara. Adalah penting untuk kita meneruskan agenda-agenda reformasi pentadbiran yang telah bermula semasa pentadbiran Pakatan Harapan telah bermula pada tahun 2018.