Skip to content

Pakatan Harapan Perak desak Perdana Menteri dan anggota Kabinet mengisytiharkan harta kepada Parlimen dengan segera demi membanteras rasuah

Pakatan Harapan hari ini mendesak Perdana Menteri dan seluruh anggota kabinet mengisytiharkan harta mereka kepada Parlimen sebagai salah satu langkah memerangi rasuah serta sebagai reformasi institusi kerajaan.

Pakatan Harapan berpendapat alasan Menteri Wilayah Persekutuan merangkap setiausaha Agong UMNO, Dato Seri Tengku Adnan bahawa jika beliau mengisytiharkan hartanya beliau bimbang anak isterinya akan diculik sebagai tidak masuk akal.

Alasan yang diberi oleh Tengku Adnan terbukti ia adalah satu usaha licik pemimpin UMNO untuk mengelakkan amalan ketelusan, integriti dan akauntabiliti dalam pentadbiran kerajaan.

Pakatan Harapan sukacita mengingatkan bahawa negeri Pulau Pinang dan Selangor kini telah meluluskan cadangan untuk Ketua Menteri, Menteri Besar serta barisan EXCO negeri-negeri yang ditadbir oleh Pakatan Harapan mengisytiharkan harta mereka kepada Dewan Negeri, malahan kini pegawai DBKL juga dikehendaki melakukan yang sama.

Oleh demikian, adalah wajib YAB Perdana Menteri dan 35 orang Menteri membuat pengisytiharan harta mereka kepada Parlimen dengan kadar SEGERA mengikut contoh negara-negara demokrasi lain yang maju termasuk Jepun, Taiwan, Amerika Syarikat dan United Kingdom.

Pakatan Harapan Perak akan membawa usul di Dewan Rakyat dan Dewan Negara mengkehendaki Perdana Menteri dan seluruh anggota kabinet mengisytiharkan harta mereka di persidangan Parlimen yang akan datang jika cadangan amalan memupuk budaya integriti ini ditolak oleh pemimpin UMNO dan Barisan Nasional.